Khamis, 31 March 2022 | 11:42pm
Cawangan Gazprombank di Moscow, Russia. - Foto REUTERS
Cawangan Gazprombank di Moscow, Russia. - Foto REUTERS

EU digertak guna mata wang Russia

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin menyatakan negara yang 'tidak mesra' terhadapnya, termasuk semua anggota Kesatuan Eropah (EU), perlu menyediakan akaun mata wang ruble untuk membayar penghantaran gas mulai April ini.

"Mereka mesti membuka akaun ruble di bank Russia dan daripada akaun ini pembayaran akan dibuat untuk penghantaran gas, mulai 1 April.

"Jika pembayaran sedemikian tidak dibuat, kami akan menganggap ini sebagai melanggar syarat wajib di pihak pembeli dan akan menanggung semua akibat yang berikutnya.

"Tiada sesiapa yang menjual apa-apa kepada kami secara percuma dan kami tidak akan melakukan kerja amal. Ini bermakna kontrak sedia ada dihentikan, jika pembayaran tidak dibuat," katanya.

Sebelum ini, negara-negara Barat mengenakan sekatan hingga melumpuhkan Moscow sejak ia memindahkan tentera ke Ukraine, termasuk pembekuan rizab mata wang asingnya.

Walaupun Amerika Syarikat melarang import minyak dan gas Russia, sebaliknya EU yang menerima kira-kira 40 peratus bekalan gasnya dari Russia pada 2021, terus mengekalkan penghantaran dari Moscow.

Menurut arahan itu, semua pembayaran akan dikendalikan oleh Gazprombank Russia, iaitu anak syarikat gergasi tenaga negara, Gazprom.

Pembeli akan memindahkan bayaran ke dalam akaun Gazprombank dalam mata wang asing yang kemudiannya akan ditukar oleh bank kepada ruble dan dipindahkan ke akaun ruble pembeli.

Sementara itu di Berlin, Canselor Jerman, Olaf Scholz, berkata negara-negara Barat akan terus membayar gas Russia dalam euro atau dolar, walaupun ada ancaman Kremlin untuk memotong bekalan, jika tidak dibayar dalam ruble.

"Kami sudah melihat kontrak untuk penghantaran gas dan mereka mengatakan pembayaran dibuat dalam euro, kadang-kadang dalam dolar.

"Saya menjelaskan dalam perbualan dengan Presiden Russia cara itu akan kekal," katanya merujuk kepada panggilan telefon dengan Vladimir Putin, Rabu lalu. - AFP

Tentera Ukraine di utara Kyiv, hari ini selepas pertempuran memasuki minggu keenam. - Foto AFP
Tentera Ukraine di utara Kyiv, hari ini selepas pertempuran memasuki minggu keenam. - Foto AFP

Berita Harian X