Selasa, 29 March 2022 | 7:20pm
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan (kanan) menyambut ketua perunding Russia, Vladimir Medinsky (kiri), ketika pertemuan bagi rundingan damai di Istanbul. - Foto AFP
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan (kanan) menyambut ketua perunding Russia, Vladimir Medinsky (kiri), ketika pertemuan bagi rundingan damai di Istanbul. - Foto AFP

Erdogan gesa gencatan senjata sebelum rundingan damai Russia-Ukraine

ISTANBUL: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, hari ini mengulangi gesaannya bagi gencatan senjata antara Russia dan Ukraine menjelang rundingan damai di Istanbul.

Katanya, inisiatif itu akan menjadi permulaan yang baik bagi menamatkan konflik yang sudah berlanjutan hampir dua bulan, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Kami percaya penyelesaian keamanan yang adil tidak akan merugikan sesiapa dan tiada pihak inginkan konflik berpanjangan," kata Erdogan kepada delegasi Russia dan Ukraine di Turki.

Beliau juga berkata, Turki bersedia menjadi tuan rumah rundingan damai antara presiden Russia dan Ukraine.

Turki mempamerkan pendekatan yang adil untuk melindungi hak, undang-undang dan sensitiviti kedua-dua pihak di semua pentas antarabangsa, kata Erdogan.

Pusingan baharu rundingan damai antara Russia dan Ukraine akan berlangsung di Istanbul hari ini, dengan delegasi Russia dan Ukraine tiba di bandar itu semalam.

Terdahulu, Erdogan berkata beliau akan duduk bersama kedua-dua pihak untuk 'pertemuan singkat' sebelum rundingan damai.

Beliau juga berkata, perbualan menerusi telefon dengan rakan sejawatannya dari Ukraine dan Russia akan diteruskan dan 'menjurus kepada penyelesaian yang diingini'.

Beberapa rundingan antara Russia dan Ukraine sudah diadakan di Belarus setakat ini dan rundingan terakhir diadakan melalui pautan video pada 14 Mac, tanpa sebarang keputusan konkrit.

Turki menjadi tumpuan dunia pada 10 Mac, berikutan negara itu menjadi tuan rumah kepada pertemuan peringkat tertinggi kedua-dua pihak membabitkan menteri luar Russia dan Ukraine di bandar Antalya di selatan Turki, sejak krisis tercetus.

Turki mendapat pujian meluas atas usahanya menamatkan sengketa kedua-dua negara itu, berikutan negara itu menjalin hubungan mesra dengan Russia dan Ukraine.

Krisis Russia-Ukraine mendapat tentangan antarabangsa, dengan Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) serta beberapa negara lain melaksanakan sekatan kewangan ke atas Moscow.

Sekurang-kurangnya 1,151 orang awam terbunuh dan 1,842 yang lain cedera manakala lebih 3.87 juta melarikan diri ke negara jiran, menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - BERNAMA

Berita Harian X