Ahad, 27 March 2022 | 9:05am
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky. - Foto AGENSI
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky. - Foto AGENSI

Zelensky tuntut Barat bekal senjata

LVIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menuntut negara Barat menyediakan sebahagian kecil daripada kelengkapan tentera dalam simpanan mereka dan mempersoalkan sama ada negara itu takut kepada Moscow.

Beberapa negara sudah berjanji menghantar peluru berpandu anti perisai dan anti pesawat serta senjata kecil, namun Zelensky berkata, Kyiv memerlukan kereta kebal, pesawat dan sistem anti kapal.

"Itulah yang dimiliki rakan kongsi kami, itulah yang hanya diletakkan di sana.

"Ini semua bukan saja untuk kebebasan Ukraine, namun untuk kebebasan Eropah," katanya menerusi ucapan di video.

Beliau berkata, Ukraine hanya memerlukan satu peratus masing-masing daripada pesawat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan kereta kebalnya.

"Kami sudah menunggu selama 31 hari. Siapa yang bertanggungjawab ke atas komuniti Euro-Atlantik?. Adakah ia benar-benar masih Moscow, kerana intimidasi?," katanya.

Zelensky berulang kali menegaskan, Russia akan berusaha untuk mara lebih jauh ke eropah jika Ukraine jatuh.

NATO tidak menyokong permintaannya untuk zon larangan berlepas ke atas Ukraine dengan alasan boleh mencetuskan perang yang lebih luas.

Terdahulu, Zelensky bercakap dengan rakan sejawatannya dari Poland, Andrzej Duda dan menyatakan kekecewaan pesawat pejuang buatan Russia di Eropah timur itu masih belum dipindahkan ke Ukraine.

"Harga kepada penangguhan pesawat ini adalah beribu-ribu nyawa rakyat Ukraine," menurut kenyataan dikeluarkan pejabat Zelensky, yang memetik kenyataannya.

Zelensky berkata, Poland dan Amerika Syarikat (AS) sudah menyatakan kesediaan untuk membuat keputusan mengenai pesawat berkenaan.

Awal bulan ini, Washington menolak tawaran mengejut oleh Poland untuk memindahkan jet pejuang MIG-29 ke pangkalan AS di Jerman bagi menambah kekuatan tentera udara Ukraine. - REUTERS

Berita Harian X