Jumaat, 25 March 2022 | 6:47pm
Gambar diedarkan pihak berkuasa Ukraine menunjukkan sebutir bom yang tidak meletup di lantai sebuah pangsapuri yang dibom Russia di Chernihiv, Ukraine. - Foto AFP
Gambar diedarkan pihak berkuasa Ukraine menunjukkan sebutir bom yang tidak meletup di lantai sebuah pangsapuri yang dibom Russia di Chernihiv, Ukraine. - Foto AFP

AS timbang tindak balas jika Russia guna senjata kimia

BRUSSELS: Rumah Putih mengumpulkan satu pasukan pegawai keselamatan negara untuk melakarkan senario bagaimana Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya harus bertindak balas jika Russia menggunakan senjata biologi atau kimia di Ukraine.

Difahamkan, Presiden Russia, Vladimir Putin, yang kecewa dengan kemajuannya di Ukraine, atau sebagai memberi amaran supaya negara Barat tidak campur tangan dalam perang, mungkin melepaskan simpanan senjata kimia, biologi atau nuklearnya.

Kumpulan yang dikenali sebagai The Tiger Team itu juga sedang meneliti tindakan balas jika Putin menyerang konvoi di wilayah Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang membawa senjata dan bantuan ke Ukraine.

Menurut beberapa pegawai yang terbabit dalam proses itu, pasukan berkenaan bertemu tiga kali seminggu dalam sesi rahsia.

Pasukan itu juga meneliti tindak balas jika Russia mahu meluaskan perang ke negara jiran lain, termasuk Moldova dan Georgia serta bagaimana negara Eropah bersiap bagi krisis pelarian dalam skala yang tidak pernah dilihat sejak berdekad lamanya.

Langkah itu menjadi antara isu utama pada sesi luar biasa NATO di Brussels semalam, apabila Presiden AS, Joe Biden, pertama kali bertemu secara tertutup dengan pemimpin 29 negara NATO lain sejak Putin menyerang Ukraine.

Hanya sebulan lalu, senario sedemikian kelihatan lebih pada teori, namun hari ini, dari Rumah Putih ke ibu pejabat NATO di Brussels, satu penilaian ditetapkan bahawa Russia mungkin beralih kepada senjata paling berkuasa dalam simpanannya untuk menyelamatkan diri daripada kebuntuan perang di Ukraine.

Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, menegaskan walaupun Russia hanya menggunakan senjata pemusnah besar-besaran di Ukraine, ia mungkin membawa 'akibat buruk' kepada penduduk di negara NATO. - AGENSI

Berita Harian X