Selasa, 22 March 2022 | 1:10pm
Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg. - Foto REUTERS
Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg. - Foto REUTERS

NATO larang Russia guna senjata kimia

BRUSSELS: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memberi amaran kepada Russia bahawa penggunaan senjata kimia dalam perang di Ukraine melanggar undang-undang antarabangsa.

Setiausaha Agungnya, Jens Stoltenberg, memberi amaran penggunaan senjata kejam itu secara terang-terangan melanggar kedua-dua undang-undang antarabangsa dan larangan senjata kimia.

"Kita tahu bahawa Russia menggunakan senjata kimia di Eropah sebelum ini untuk menentang seteru politik mereka sendiri selain menyokong rejim Bashar al-Assad di Syria di mana senjata kimia turut digunakan.

"Justeru, NATO perlu menghalang konflik berdarah lagi ngeri ini (di Ukraine) daripada berkembang menjadi perang skala penuh antara NATO dan Russia yang berisiko membabitkan Amerika Syarikat (AS) secara langsung," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Linda Thomas-Greenfield, memberitahu stesen penyiaran CNN bahawa AS akan bertindak balas secara agresif sekiranya Russia menggunakan senjata kimia ke atas Ukraine.

"Kami bimbang sekiranya Moscow menggunakan senjata kimia di Ukraine. Kami ingin menegaskan bahawa jika Russia benar-benar mengambil langkah itu, kami akan melancarkan tindak balas agresif ke atas mereka (Russia)," tegas beliau.

Ketua Pusat Pengurusan Pertahanan Negara Russia, Mikhail Mizintsev, sebelum ini mendakwa tanpa bukti bahawa tentera Ukraine meletakkan periuk api dalam kemudahan penyimpanan amonia dan klorin.

Kelmarin, Kementerian Pertahanan Russia pula berkata tentera Moscow menyasarkan depot peluru dan bahan api di Ukraine dengan melancarkan serangan peluru berpandu hipersonik sepanjang hujung minggu lalu.

Sekiranya dakwaan berkenaan benar, ia adalah kali pertama Rusia menggunakan peluru berpandu sedemikian walaupun belum ada pengesahan setakat ini. – AGENSI

Berita Harian X