Isnin, 21 March 2022 | 9:28pm
Orang ramai berehat di bilik khas untuk pelarian di stesen kereta api di Lviv, barat Ukraine. - Foto AFP
Orang ramai berehat di bilik khas untuk pelarian di stesen kereta api di Lviv, barat Ukraine. - Foto AFP

Hampir 3.5 juta rakyat Ukraine meninggalkan negara - PBB

GENEVA: Hampir 3.5 juta rakyat Ukraine meninggalkan negaranya susulan pencerobohan Russia, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini, sambil badan itu memuji negara jiran yang menunjukkan belas kasihan luar biasa terhadap 'kesengsaraan melampau' rakyat negara itu.

Lebih 10 juta rakyat atau lebih daripada satu perempat penduduk di wilayah di bawah kawalan kerajaan, dijangka akan menuruti langkah sama meninggalkan negaranya termasuk berjuta-juta lagi kehilangan tempat tinggal.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berkata, seramai 3,489,644 warga Ukraine sudah meninggalkan negaranya sejak serangan Russia pada 24 Februari lalu, dengan tambahan 100,600 lagi setakat semalam.

"Sejak empat minggu lalu, dunia memerhati dengan tidak percaya. Banyak nyawa terkorban manakala berjuta-juta yang lain sudah terjejas sepenuhnya.

"Seolah-olah untuk mengatasi perasaan putus asa, kami juga menyaksikan tindakan mengalu-alukan dan belas kasihan daripada negara jiran khususnya responden tempatan, yang membuka hati dan rumah mereka kepada rakyat Ukraine.

"Berjuta-juta orang di seluruh dunia benar-benar terharu dengan penderitaan melampau rakyat Ukraine," kata Ketua UNHCR, Filippo Grandi yang merujuk 'kesakitan dan kesedihan, kehilangan dan keperitan mereka dan kelegaan dalam mencari keselamatan dan kebimbangan masa depan tidak menentu'.

Wanita dan kanak-kanak menyumbang kira-kira 90 peratus bilangan mereka yang melarikan diri berikutan lelaki berusia 18 hingga 60 tahun tidak dibenarkan meninggalkan negara serta menyertai pasukan tentera.

Agensi kanak-kanak PBB, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pula mengatakan lebih 1.5 juta kanak-kanak Ukraine melarikan diri meninggalkan negaranya.

Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) PBB berkata, 186,000 orang dari negara ketiga sudah melarikan diri dari Ukraine ke negara jiran.

Sehingga Rabu lalu, kira-kira 6.48 juta orang dianggarkan kehilangan tempat tinggal di Ukraine, menurut PBB dan agensi berkaitan, hasil tinjauan wakil IOM dengan berjuta-juta lagi mungkin terjejas jika perang tidak berakhir.

Sebelum serangan Russia, Ukraine mempunyai populasi 37 juta di wilayah di bawah kawalan kerajaan, tidak termasuk Crimea yang diilhamkan oleh Russia dan wilayah pemisah pro-Russia di timur.

Enam daripada setiap 10 pelarian Ukraine iaitu 2,083,854 setakat ini, sudah menyeberangi sempadan Poland, menurut angka terkini UNHCR.

Kebanyakan mereka menuju ke barat dari Ukraine ke Poland, Hungary dan Slovakia kemudian mengembara lebih jauh ke negara lain di zon sempadan terbuka Schengen Eropah.

Sebelum krisis, kira-kira 1.5 juta rakyat Ukraine tinggal di Poland, iaitu negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dengan sebahagian besar daripada mereka bekerja.

Kira-kira 264,000 orang melintasi sempadan ke arah bertentangan, kata pengawal sempadan Poland.

Kebanyakan mereka kembali untuk bertempur tetapi juga orang lain yang ingin menjaga saudara-mara warga emas atau membawa keluarga mereka keluar ke Poland.

Menurut UNHCR, kira-kira 535,461 warga Ukraine memasuki Romania yang juga anggota EU, termasuk sebilangan besar yang telah menyeberang dari Moldova, terperangkap antara Romania dan Ukraine.

Sebilangan besar dianggarkan pergi ke negara lain lebih jauh ke Eropah.

Sempadan Moldova adalah yang paling dekat dengan bandar pelabuhan utama Odessa.

UNHCR berkata, kira-kira 365,197 rakyat Ukraine menuju ke negara bukan anggota EU, salah satu yang termiskin di Eropah.

Kebanyakan transit melalui negara kecil, dalam perjalanan ke barat ke Romania dan perjalanan seterusnya.

Bilangan pelarian Ukraine yang menuju ke Hungary mencecah 312,120 orang, kata UNHCR.

Satu perempat juta orang berjaya merentasi sempadan terpendek Ukraine ke Slovakia, kata UNHCR, dengan 250,036 pelarian Ukraine.

Kira-kira 231,764 pelarian mencari perlindungan di Russia sejak pencerobohan bermula.

Selain itu, UNHCR berkata 50,000 penduduk memasuki Russia dari wilayah Donetsk dan Lugansk pro-Russia yang dikuasai pemisah di timur Ukraine antara 21 dan 23 Februari yang mana 3,765 pelarian berjaya ke utara ke Belarus, kata UNHCR. - AFP

Berita Harian X