Ahad, 20 March 2022 | 9:56am
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy. - REUTERS
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy. - REUTERS

Zelenskiy gesa Switzerland sekat oligarki biayai perang Russia

LVIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy pada Sabtu menyeru rundingan damai komprehensif diadakan dengan Moscow, selain menggesa Switzerland melakukan lebih banyak tindakan untuk membanteras oligarki Russia yang didakwa membantu melancarkan perang ke atas negaranya menggunakan wang mereka.

Perisikan British memberi amaran bahawa Russia, yang kecewa dengan kegagalannya dalam mencapai objektif sejak melancarkan pencerobohan pada 24 Februari, kini menjalankan strategi pemusnahan yang boleh memburukkan lagi krisis kemanusiaan.

Tentera Russia mengalami kerugian besar dan kemaraan mereka sebahagian besarnya terhenti sejak Presiden Vladimir Putin melancarkan serangan itu, dengan barisan tentera menyerang Kyiv terhenti di pinggir bandar.

Namun mereka mengepung bandar, meletupkan kawasan itu sehingga menjadi runtuhan. Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Russia memperhebatkan serangan peluru berpandu ke atas taburan sasaran di barat Ukraine, jauh dari medan perang utama.

Zelenskiy, yang seringkali melakukan rayuan penuh bersemangat kepada khalayak asing untuk mendapatkan bantuan bagi negaranya, memaklumkan peserta protes antiperang di Bern bahawa bank Switzerland adalah tempat di mana 'wang mereka yang melancarkan perang ini' berada dan akaun mereka harus dibekukan.

"Bandar Ukraine sedang dimusnahkan atas arahan orang yang tinggal di Eropah, di bandar Switzerland yang indah, yang menikmati harta di bandar anda. Adalah sangat baik untuk melucutkan keistimewaan ini," katanya dalam ucapan audio.

Switzerland neutral yang bukan ahli Kesatuan Eropah (EU), menerima pakai sepenuhnya sekatan EU terhadap individu dan entiti Russia, termasuk perintah untuk membekukan kekayaan mereka di bank Switzerland.

Langkah diambil EU adalah sebahagian usaha sekatan lebih luas oleh negara Barat, yang dikritik China, bertujuan menyekat ekonomi Russia dan menghentikan keupayaan mesin perangnya.

Dalam ucapannya pada Sabtu, Zelenskiy menggesa Moscow mengadakan rundingan damai sekarang.

"Saya mahu semua orang mendengar saya sekarang, terutamanya di Moscow. Masanya sudah tiba untuk mesyuarat, sudah tiba masanya untuk bercakap.

"Masanya telah tiba untuk memulihkan integriti wilayah dan keadilan untuk Ukraine. Jika tidak, kerugian Russia akan semakin teruk sehingga anda memerlukan beberapa generasi untuk pulih," katanya dalam ucapan video.

Atase pertahanan Britain ke Amerika Syarikat berkata, perisikan British percaya Russia terkejut dengan penentangan Ukraine terhadap serangannya dan setakat ini gagal mencapai objektif asalnya.

"Russia dipaksa menukar pendekatan operasinya dan kini menjalankan strategi pemusnahan yang mungkin membabitkan penggunaan senjata api secara sembarangan, mengakibatkan peningkatan korban awam," kata Naib Marshal Udara Mick Smeath dalam satu kenyataan.

Putin, yang menggelar tindakan itu sebagai 'operasi khas' bertujuan memusnahkan Ukraine dan membersihkannya daripada apa yang dilihatnya sebagai nasionalis berbahaya, memberitahu perhimpunan pada hari Jumaat di Moscow bahawa semua matlamat Kremlin akan tercapai. - REUTERS

Berita Harian X