Jumaat, 18 March 2022 | 5:37pm
Pekerja penyelamat mengalihkan mayat penduduk tempatan selepas sebuah bangunan kediaman dibom tentera Russia di Kyiv, Ukraine. - Foto REUTERS
Pekerja penyelamat mengalihkan mayat penduduk tempatan selepas sebuah bangunan kediaman dibom tentera Russia di Kyiv, Ukraine. - Foto REUTERS

Ada tolak ansur, kemajuan rundingan hentikan perang Russia-Ukraine

KYIV: Berita perkembangan terbaru mengenai tolak ansur dari Moscow dan Kyiv mencetuskan harapan ada jalan keluar ke arah kedamaian selepas tiga minggu perang di Ukraine.

Media The Financial Times (FT) melaporkan, Ukraine dan Russia sudah mencapai kemajuan ketara berkaitan satu pelan damai membabitkan 15 perkara.

Media itu memetik lima orang yang terbabit dalam rundingan terbabit sebagai berkata rancangan termasuk gencatan senjata dan pengunduran tentera Russia jika Kyiv mengisytiharkan dirinya berkecuali serta menerima batasan bagi angkatan tenteranya.

FT berkata rancangan itu akan memerlukan Kyiv melepaskan cita-citanya mahu menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Kyiv juga perlu berjanji tidak membenarkan penempatan pangkalan tentera atau persenjataan asing sebagai pertukaran perlindungan daripada sekutu seperti Amerika Syarikat (AS), Britain dan Turki.

Laporan FT itu juga menyatakan Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett, menjadi pengantara antarabangsa utama dalam rundingan itu, berikutan lawatan mengejut ke Moscow pada 5 Mac.

Difahamkan, beliau mengadakan rundingan berturut-turut dengan pemimpin Ukraine dan Russia, dengan yang terbaru hanya dua hari lalu.

Namun, jurucakap Kremlin, Dmitry Psekov, berkata adalah terlalu awal untuk mendedahkan sebarang set perjanjian antara Moscow dengan Kyiv, menurut agensi berita RIA.

Ini berlaku selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata rundingan menjadi 'lebih realistik', manakala Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, berkata cadangan yang kini dibincangkan adalah 'hampir kepada satu perjanjian'.

Presiden Russia, Vladimir Putin, berkata Moscow bersedia membincangkan status neutral bagi negara jirannya tetapi masih akan mencapai matlamat operasinya, yang katanya 'berjalan seperti yang dirancang'.

Kremlin berkata perunding sedang membincangkan status Ukraine sama seperti Austria atau Sweden, kedua-duanya ahli Kesatuan Eropah (EU) yang berada di luar pakatan NATO.

Ketua perunding Russia, Vladimir Medinsky, memberitahu televisyen negara, Ukraine menawarkan versi Austria atau Sweden bagi negara neutral, tetapi pada masa sama, sebuah negara dengan tentera dan tentera lautnya sendiri.

Ketua perunding Ukraine, Mykhailo Podolyak, pula berkata Kyiv masih menuntut gencatan senjata dan pengunduran tentera Russia, dengan jaminan keselamatan.

Kyiv juga masih mahukan rundingan langsung secara bersemuka antara Zelensky dan Putin. - REUTERS

Berita Harian X