Jumaat, 18 March 2022 | 7:44am
FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

35 syarikat keluarkan pil antiviral COVID-19 versi murah

GENEVA: Kumpulan Paten Ubat (MPP) mengesahkan sebanyak 35 syarikat ubat-ubatan generik di seluruh dunia bakal menghasilkan ubat Paxlovid antivirus oral COVID-19 Pfizer Inc versi harga lebih murah bagi rawatan virus itu kepada 95 negara miskin.

Usaha itu turut mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pfizer membuat perjanjian tahun lalu dengan kumpulan itu bagi membenarkan syarikat ubat generik menghasilkan pil untuk 95 negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Sejak tempoh itu, Pfizer melakukan proses pemilihan bagi mengenalpasti syarikat yang akan mereka lesenkan.

Paxlovid dijangka menjadi komponen penting dalam memerangi COVID-19 selepas ia mengurangkan kemasukan ke hospital dalam kalangan pesakit berisiko tinggi kira-kira 90 peratus sepanjang proses percubaan klinikal.

Hasilnya adalah jauh lebih baik berbanding pil antiviral saingan iaitu molnupiravir dari Merck & Co dalam percubaan klinikalnya.

Pfizer dan Merck kemudiannya membuat perjanjian dengan MPP untuk membenarkan versi generik ubat baharu mereka di beberapa buah negara.

Situasi itu jarang berlaku bagi syarikat farmaseutikal yang biasanya akan melindungi paten mereka.

Merck, secara sendirinya dan melalui lesen MPP, membuat perjanjian dengan berdozen syarikat ubat-ubatan untuk menjadikan pilnya dan versi generiknya dapat dipasarkan di beberapa negara.

Namun Pfizer dan MPP tidak menjangkakan mana-mana syarikat ubat-ubatan generik mampu menghasilkan bekalan Paxlovid sebelum akhir tahun ini.

Menurut MPP, 35 syarikat yang akan mengeluarkan versi Paxlovid atau bahan aktifnya berpangkalan di 12 negara berbeza.

Katanya, ia termasuk beberapa pengeluar generik terbesar di dunia seperti Industri Farmaseutikal Teva Israel, Industri Farmaseutikal Sun yang berpangkalan di India dan Viatris Inc yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Enam daripada semua syarikat berkenaan akan menghasilkan bahan utama untuk ubat itu, sembilan lagi menghasilkannya dalam bentuk produk manakala syarikat yang selebihnya akan melakukan kedua-duanya.

Bagi tujuan itu, Pfizer tidak akan menerima royalti daripada penjualan versi generik ubatnya manakala COVID-19 kekal diklasifikasikan sebagai 'kecemasan kesihatan awam oleh kebimbangan antarabangsa' dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut MPP, sepanjang tempoh pandemik, penjualan kepada negara berpendapatan rendah akan kekal bebas royalti, manakala bagi negara berpendapatan sederhana rendah dan negara berpendapatan sederhana tinggi akan tertakluk kepada royalti lima peratus untuk jualan kepada sektor awam dan royalti 10 peratus untuk jualan kepada sektor swasta.

Menurut Pfizer, syarikat itu merancang untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 120 juta jenis rawatan tahun ini, sekali gus jauh daripada anggaran pasaran bagi 2022 untul pil antiviral sebanyak 250 juta individu di seluruh dunia.

Menurut seorang pegawai Global Fund iaitu badan bukan kerajaan (NGO) penjagaan kesihatan, syarikat itu juga dijangka menyediakan kira-kira 10 juta Paxlovid yang dihasilkannya kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana tahun ini. - REUTERS

Berita Harian X