Khamis, 10 March 2022 | 11:30am
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto REUTERS
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto REUTERS

Masih lama lagi sebelum pandemik COVID-19 selesai - WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan masih lama lagi untuk pandemik COVID-19 selesai walaupun pelbagai usaha dilakukan sejak dua tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang pertama kali menakrifkan COVID-19 sebagai pandemic pada Mac 11 2020, berkata perjalanan masih jauh lagi.

Beliau juga kecewa kerana coronavirus itu masih bermutasi dan berlipat ganda di sesetengah negara.

WHO mengisytiharkan kecemasan kesihatan umum dengan tahap kebimbangan peringkat antarabangsa iaitu amaran tertinggi di bawah peraturan WHO, pada 30 Januari 2020, apabila kurang 100 kes dan tiada kematian dilaporkan di luar China.

Namun, kata Tedros, hanya selepas ungkapan pandemik digunakan enam minggu kemudian, lebih banyak negara tergerak untuk mengambil langkah proaktif.

"Dua tahun kemudian, lebih enam juta orang maut dan hampir 444 juta kes jangkitan didaftarkan.

"Walaupun jangkitan dan kematian yang dilaporkan di serata dunia kini berkurangan dan kebanyakan negara sudah melonggarkan sekatan, pandemik ini masih belum selesai dan tidak akan selesai selagi tidak terhapus sama sekali.

"Virus ini terus bermutasi dan kita pula menghadapi masalah pengagihan vaksin, ujian dan rawatan di mana ia amat diperlukan," katanya.

Tambah beliau, peningkatan 46 peratus kes baharu dicatatkan WHO minggu lalu di rantau Pasifik Barat, di mana 3.9 juta jangkitan dicatatkan.

Tedros juga memberi amaran mengenai penurunan kadar ujian COVID-19 yang menyebabkan kekurangan data terkini mengenai ancaman pandemik pada peringkat global.

Jumlah kes baharu berkurangan lima peratus di seluruh dunia minggu lalu berbanding minggu sebelumnya manakala kadar kematian susut lapan peratus.

Bagaimanapun, Ketua Teknikal COVID-19 WHO, Maria Van Kerkhove, memberi amaran bahawa statistik kes berkenaan bukan pengukur yang baik kerana kadar ujian kini jauh berkurangan.

"Kadar perebakan coronavirus ini masih terlalu intensif selepas tiga tahun pandemik, meskipun ada trend penurunan... masih ada lebih 10 juta kes dilaporkan di seluruh dunia minggu lalu dan kita perlu berwaspada," katanya.

Menurut laporan mingguan WHO mengenai perebakan virus COVID-19, varian Omicron mempinyai 'dominan global' berbanding varian mutasi lain.

WHO berkata Omicron menjadi punca jangkitan dalam 99.7 peratus sampel yang dikumpul dalam tempoh 30 hari dan menjalani jujukan serta dimuat naik dalam inisiatif sains global, GISAID.

Dari segi suntikan pula, statistik terkini WHO menunjukkan 23 negara masih belum menyuntik vaksin bagi sekurang-kurangnya 10 peratus manakala 73 negara masih belum mencapai tahap inokulasi 40 peratus yang ditetapkan pada awal 2022. - AFP

Berita Harian X