Rabu, 9 March 2022 | 11:35am
Gambar satelit menunjukkan pangkalan udara Machulishchy di luar Minsk, Belarus, di mana sejumlah besar helikopter milik tentera Russia dan Belarus sedang bersedia untuk memasuki Ukraine. - Foto AFP
Gambar satelit menunjukkan pangkalan udara Machulishchy di luar Minsk, Belarus, di mana sejumlah besar helikopter milik tentera Russia dan Belarus sedang bersedia untuk memasuki Ukraine. - Foto AFP

Russia beri syarat hentikan serangan

MOSCOW: Russia menegaskan pihaknya sedia menghentikan operasi ketenteraan di Ukraine 'dalam masa terdekat' sekiranya Kyiv memenuhi semua syarat yang dikenakan.

Menurut jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, Moscow menuntut Ukraine menghentikan tindakan ketenteraan, meminda Perlembagaan untuk mengakui Crimea sebagai wilayah Russia dan mengiktiraf Donetsk serta Lugansk sebagai republik bebas.

Ia adalah kenyataan paling jelas pihak Russia setakat ini, yang mahu mengenakan syarat ke atas Ukraine untuk menghentikan operasi ketenteraan yang memasuki hari ke-12.

Peskov, menerusi satu temubual telefon bersama Reuters, mendakwa Ukraine sedar mengenai syarat yang dikemukakan dan sudah diberitahu bahawa semua boleh dihentikan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, setakat ini tiada maklum balas dilaporkan dari Ukraine berhubung perkara itu.

Russia melancarkan serangan ke atas Ukraine dari bahagian utara, timur dan selatan selain menceroboh beberapa bandar termasuk Kyiv, Kharkiv dan pelabuhan Mariupol.

Pencerobohan yang berlaku pada 24 Februari lalu mengakibatkan krisis pelarian paling buruk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Tindakan pencerobohan itu juga mencetuskan kemarahan di seluruh dunia dan menyebabkan sekatan berat dikenakan ke atas Moscow.

Dalam pada itu, Peskov menegaskan Russia tidak berhasrat untuk membuat sebarang tuntutan lanjut ke atas wilayah Ukraine.

Malah, beliau juga menolak dakwaan kononnya Russia menuntut Kyiv diserahkan kepada mereka.

"Kami benar-benar sedang menamatkan proses ketenteraan di Ukraine, kami akan menyelesaikannya, namun apa penting ketika ini adalah Kyiv juga perlu menghentikan tindakan ketenteraan.

"Mereka harus menghentikan tindakan ketenteraan mereka dan kemudian tiada sesiapa akan melakukan serangan balas," katanya.

Tuntutan Russia itu dibuat ketika delegasi dari Moscow dan Kyiv bertemu bagi pusingan ketiga rundingan kelmarin, yang bertujuan menamatkan konflik kedua-dua negara.

"Kami bukan mahu merampas Lugansk dan Donetsk dari Ukraine tetapi dua wilayah itu tidak mahu menjadi sebahagian daripada Ukraine dan tidak bermakna dua wilayah ini harus dimusnahkan.

"Ukraine tetap akan menjadi negara bebas seperti dimahukan, namun di bawah keadaan berkecuali," kata Peskov.

Tambah beliau, semua tuntutan itu sudah diserahkan semasa pusingan kedua rundingan antara delegasi Russia dan Ukraine yang berlangsung pada minggu lalu.

Sementara itu, Penasihat presiden Kyiv, Mikhailo Podolyak, menerusi ciapan di Twitter, memaklumkan pihaknya mencapai beberapa 'hasil positif' berkenaan logistik koridor kemanusiaan.

Katanya, rundingan intensif diteruskan mengenai beberapa isu utama bagi mendapatkan gencatan senjata dalam pertempuran di Ukraine.

Namun, ketua perunding Russia, Vladimir Medinsky, mendakwa tuntutan Moscow daripada rundingan itu 'masih belum dipenuhi'. - AGENSI

Berita Harian X