Isnin, 7 March 2022 | 7:15am
Seorang wanita memegang papan tanda menggesa penghantaran NATO ke Ukraine ketika protes di hadapan Kedutaan Russia di Montreal, Quebec. - Foto AFP
Seorang wanita memegang papan tanda menggesa penghantaran NATO ke Ukraine ketika protes di hadapan Kedutaan Russia di Montreal, Quebec. - Foto AFP

Russia beri amaran negara benarkan pesawat Ukraine mendarat

MOSCOW: Russia memberi amaran kepada jiran Ukraine, khususnya anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) seperti Romania supaya tidak menawarkan tempat untuk pesawat tentera Kyiv, jika enggan dianggap menyertai konflik bersenjata itu.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Russia, Igor Konashenkov berkata, pihaknya tahu ada pesawat pejuang Ukraine yang terbang ke Romania dan beberapa negara jirannya yang lain.

"Penggunaan jaringan lapangan terbang negara ini sebagai pangkalan tentera udara Ukraine yang akan digunakan untuk menyerang tentera Russia, boleh dianggap sebagai pembabitan negara ini dalam konflik bersenjata," katanya dalam satu video, semalam.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Romania, Nicolae Ciuca, membalas amaran itu dengan menyifatkannya sebagai retorik semata-mata.

Tegasnya, Moscow boleh cuba untuk menakut-nakutkan Romania, namun menegaskan pihaknya tidak rasa terancam dengan amaran itu.

"Ia hanyalah retorik yang bertujuan mengalihkan perhatian daripada apa yang berlaku di Ukraine, di mana orang awam dibunuh dan peraturan konflik bersenjata diketepikan," katanya dalam satu temu bual di televisyen.

Ciuca menyentuh satu laporan tentera Romania pada 24 Februari lalu iaitu hari pertama konflik, di mana sebuah jet pejuang Ukraine dipintas di ruang udara Romania dan dipaksa mendarat.

Juruterbang pesawat Ukraine itu memberitahu pihak berkuasa Romania mengenai serangan mengejut pihak Russia dan pesawatnya berdepan masalah teknikal.

Jelas Ciuca, jet itu kemudian dibenarkan berlepas pulang beberapa hari kemudian dan insiden itu dimaklumkan kepada umum secara telus, kerana enggan disalah anggap oleh Moscow.

Dalam pada itu, Konashenkov turut mendakwa 'hampir semua' pesawat Ukraine yang sedia untuk digunakan, sudah dimusnahkan.

Sebelum ini, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berulang kali memohon kuasa Barat menguatkuasakan zon larangan terbang di ruang udara Ukraine bagi menghalang serangan Russia.

Namun, Presiden Russia, Vladimir Putin, memberi amaran bahawa Moscow akan menganggap mana-mana negara yang menguatkuasakan zon itu sebagai menyertai konflik berkenaan. - AFP

Berita Harian X