Sabtu, 5 March 2022 | 11:35am
Bangunan yang rosak selepas tembakan tentera Russia di bandar Chernihiv, Ukraine. - Foto AFP
Bangunan yang rosak selepas tembakan tentera Russia di bandar Chernihiv, Ukraine. - Foto AFP

Zelensky kecam NATO tolak zon larangan terbang Ukraine

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengecam tindakan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang menolak zon larangan terbang ke atas negaranya sambil mengatakan pakatan tentera Barat itu mengetahui kemungkinan pencerobohan Russia yang seterusnya.

Pada Jumaat, NATO menolak permintaan Ukraine untuk mengenakan zon larangan terbang bagi menghentikan pengeboman Russia, namun sekutu Barat ada memberi amaran kepada Presiden Vladimir Putin akan mengenai sekatan baharu jika beliau tidak menghentikan perang.

"Mengetahui bahawa serangan dan kehilangan nyawa baharu tidak dapat dielakkan, NATO sengaja memutuskan untuk tidak menutup ruang udara Ukraine.

"Kami percaya bahawa negara-negara NATO sendiri mencipta naratif bahawa penutupan ruang udara Ukraine akan mencetuskan pencerobohan langsung Russia terhadap NATO," kata Zelensky menerusi video diterbitkan pejabat presiden.

 Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky. - Foto AFP
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky. - Foto AFP

Sementara itu, Ketua NATO, Jens Stoltenberg, berkata pakatan itu tidak akan campur tangan dalam konflik berkenaan kerana bimbang akan berlaku pertembungan langsung dengan Moscow yang boleh berlanjutan ke konflik yang lebih luas.

"Satu-satunya cara untuk melaksanakan zon larangan terbang ialah menghantar pesawat pejuang NATO ke ruang udara Ukraine dan kemudian mengenakan zon larangan terbang itu dengan menembak jatuh pesawat Russia," katanya selepas mesyuarat tergempar itu.

Beliau dilaporkan berkata, jika pihaknya berbuat demikian, ia boleh berakhir dengan peperangan.

"Ini kerana jika kita berbuat demikian, kita hanya akan mengakhirinya dengan sepenuhnya perang di Eropah dan membabitkan lebih banyak negara serta menyebabkan lebih banyak penderitaan manusia," katanya.

Bagaimanapun Zelensky bertegas, perhimpunan NATO itu adalah 'sidang kemuncak yang lemah serta mengelirukan'.

"Semua orang akan mati mulai hari ini dan kematian itu disebabkan anda. Ia adalah kerana kelemahan anda, kerana memutuskan pertalian.

"Hari ini kepemimpinan perikatan memberi lampu hijau untuk pengeboman selanjutnya ke atas bandar dan kampung Ukraine dan enggan membuat zon larangan terbang," katanya. - AFP

Berita Harian X