Sabtu, 5 March 2022 | 8:26am
Sukarelawan di Besancon, Perancis membantu menguruskan kutipan barangan sebelum dihantar ke Poland untuk pelarian Ukraine. - Foto AFP
Sukarelawan di Besancon, Perancis membantu menguruskan kutipan barangan sebelum dihantar ke Poland untuk pelarian Ukraine. - Foto AFP

PBB beri amaran risiko kebuluran global akibat perang Ukraine

ROM: Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat memberi amaran mengenai lonjakan krisis makanan di kawasan konflik di Ukraine, manakala gangguan dalam pengeluaran dan eksport boleh menjejaskan keselamatan makanan di seluruh dunia.

"Peluru dan bom di Ukraine boleh membawa krisis kebuluran global ke tahap melebihi apa yang kita lihat sebelum ini," kata kata Pengarah WFP, David Beasley.

Agensi yang berpangkalan di Rom itu menubuhkan hab di negara-negara yang bersempadan dengan Ukraine untuk membantu dalam penghantaran bantuan makanan ke Ukraine, sambil membantu pelarian yang melarikan diri.

Russia dan Ukraine bersetuju pada Khamis untuk melaksanakan koridor kemanusiaan, lapan hari selepas Russia menyerang Ukraine, menghantar gelombang pelarian ke negara jiran di barat Ukraine.

Terdapat Laporan mengenai "kekurangan teruk" makanan dan air di Kyiv dan timur Kharkiv, kata WFP dalam satu kenyataan.

"Dengan konsainan bantuan makanan yang tiba setiap hari, WFP kesuntukan masa untuk menempatkan bekalan makanan di kawasan yang dijangka berlaku pertempuran," katanya.

Dengan Russia dan Ukraine menyediakan kira-kira 29 peratus daripada perdagangan gandum global, gangguan serius dalam pengeluaran dan eksport boleh menyebabkan harga makanan yang sudah berada pada paras tertinggi dalam tempoh 10 tahun akan lebih tinggi lagi, katanya.

"Ini akan menghakis jaminan keselamatan makanan untuk jutaan orang, terutama yang sudah mengalami tekanan kerana tahap inflasi makanan yang tinggi di negara mereka," kata WFP.

WFP berkata peningkatan harga boleh menyebabkan agensi itu menanggung kos antara AS$60 juta (RM250 juta) hingga AS$75 juta (RM313 juta) sebulan dalam kos operasi. - AFP

Berita Harian X