Khamis, 3 March 2022 | 11:47am
 Foto AFP
Foto AFP

COVID-19: WHO syor pil molnuparavir bagi pesakit gejala ringan

PARIS: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan pengambilan pil anti-COVID-19 kepada mereka yang bergejala ringan namun berisiko dimasukkan ke hospital, terutama golongan tua serta mereka yang belum divaksinasi.

Pil molnuparavir yang dibangunkan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Merck perlu diambil secepat mungkin untuk lima hari berikutnya sebaik mengalami gejala COVID-19.

Kumpulan pakar WHO menerusi Jurnal Perubatan British memaklumkan, individu yang mempunyai sistem daya tahan lemah atau penyakit kronik turut disaran mengambil pil berkenaan jika mengalami gejala ringan akibat COVID-19.

"Bagaimanapun, pesakit muda, tidak mempunyai penyakit serius termasuk kanak-kanak serta wanita mengandung dan menyusukan bayi, tidak perlu mengambil pil terbabit kerana berpotensi mendatangkan bahaya," menurut mereka.

WHO mengemukakan syor terbabit berdasarkan keputusan enam ujian rawak yang dilakukan secara terkawal membabitkan seramai 4,796 pesakit, sekali gus menjadi set data terbesar berkaitan ubat setakat ini.

Ujian itu mencadangkan bahawa molnupiravir berupaya mengurangkan risiko kemasukan ke hospital, dengan 43 kemasukan untuk setiap 1,000 pesakit berisiko tinggi, selain menghilangkan gejala dalam kadar yang cepat iaitu secara purata 3.4 hari.

Ia juga dilaporkan berupaya mengurangkan kadar kematian iaitu enam daripada 1,000 pesakit.

WHO bagaimanapun mengakui wujud masalah berkaitan kos dan akses kepada molnupiravir terutama membabitkan negara berpendapatan rendah serta sederhana sekali gus membuka cabaran terhadap ketidakseimbangan kesihatan.

Biarpun vaksin kekal menjadi instrumen utama dalam melawan COVID-19, pakar menyambut baik kaedah rawatan terbaharu itu yang berkesan terhadap varian serta berupaya menyekat keupayaan virus itu membiak. - AFP

Berita Harian X