Khamis, 3 March 2022 | 9:40am
 Foto hiasan (AGENSI)
Foto hiasan (AGENSI)

Tujuh maut helikopter Romania terhempas

BUCHAREST: Tujuh anggota tentera maut dalam kejadian helikopter terhempas pada Rabu di timur Romania berhampiran Laut Hitam ketika mencari jet pejuang dan juruterbangnya yang hilang, kata pegawai.

Helikopter IAR 330-Puma itu terhempas di kawasan Gura Dobrogei, 11 kilometer (km) dari lapangan terbang, mengorbankan kesemua tujuh penumpang, menurut Kementerian Pertahanan.

Ia sedang mencari MiG 21 LanceR, sejurus selepas jet pejuang itu terputus hubungan radio dengan menara kawalan ketika misi rondaan udara dan hilang daripada radar.

"Operasi mencari dan menyelamat juruterbang pesawat MiG 21 LanceR masih diteruskan," menurut Kementerian Pertahanan.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca nahas helikopter itu.

Juruterbang helikopter melaporkan cuaca buruk dan telah diarahkan untuk kembali ke pangkalan, menurut kementerian itu.

"Adalah terlalu awal untuk membincangkan kemungkinan punca. Sudah tentu, terdapat keadaan cuaca yang tidak baik, tetapi kami tidak boleh mengulas sekarang," kata jurucakap Jeneral Constantin Spanu di televisyen tempatan.

"Kami mempunyai dua suruhanjaya siasatan yang ditubuhkan. Fokus kami adalah pada operasi mencari dan menyelamat."

Presiden Klaus Iohannis dalam satu kenyataan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan kejadian itu sebagai "malam tragis untuk penerbangan Romania."

Pada Julai 2020, 12 orang terbunuh dan dua cedera apabila sebuah pesawat AN-2 terhempas dalam misi latihan payung terjun, sejurus selepas berlepas.

Dalam kejadian lain, enam tentera Israel dan seorang warga Romania maut apabila helikopter mereka terhempas di tengah Romania.

Pada 2018, seorang juruterbang Tentera Udara Romania maut selepas MiG 21 LanceR miliknya terhempas ketika pertunjukan udara di tenggara negara itu.

Tentera Udara Romania masih bergantung pada MiG era Soviet untuk misi kepolisan udara, walaupun ia sedang memodenkan pesawatnya.

Romania, bekas anggota blok komunis yang kini sebahagian daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah, bersempadan dengan Ukraine dan menyaksikan puluhan ribu pelarian tiba sejak Russia menyerang jirannya minggu lalu.

Sejak beberapa bulan ketegangan serantau meningkat, Romania berulang kali menuntut bantuan tentera dihantar ke sayap timur NATO. Sekutunya telah bertindak balas.

Amerika Syarikat menghantar skuadron kenderaan perisai Stryker dan kira-kira 1,000 tentera dalam beberapa minggu kebelakangan ini ke pangkalan Romania berhampiran Laut Hitam, menambah 900 kakitangan yang telah ditempatkan di negara itu.

Sepanjang bulan lalu, enam pesawat Eurofighter Typhoon dari tentera udara Jerman menyertai empat pesawat serupa yang dihantar Itali sebelum krisis.

Lebih 500 askar Perancis dihantar ke negara Eropah timur minggu ini.

Keadaan menjadi rumit dengan rampasan Snake Island oleh Russia pada Khamis, pulau tidak berpenghuni tetapi strategik di Laut Hitam hanya 45 km dari pantai Romania.

Bucharest dan Kyiv kedua-duanya menuntut pulau itu, sebelum Mahkamah Keadilan Antarabangsa menganugerahkannya kepada Ukraine pada 2009. - AFP

Berita Harian X