Selasa, 1 March 2022 | 7:38pm
Gabar fail menunjukkan PATI menaiki kapal di pelabuhan Mytilene, Pulau Lesbos. - Foto AFP
Gabar fail menunjukkan PATI menaiki kapal di pelabuhan Mytilene, Pulau Lesbos. - Foto AFP

6 PATI ditemui maut berhampiran Pulau Lesbos

PULAU LESBOS: Pihak berkuasa Greece menemukan enam mayat dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) berhampiran Pulau Lesbos, dengan Athens didakwa melanggar hak asasi terhadap mereka yang tiba secara salah ke negara itu.

Pengawal pantai Greece memaklumkan, empat mayat ditemukan di kawasan pantai berhampiran pelabuhan Mytilene, manakala dua lagi ditemukan di laut.

Katanya, mayat tiga lelaki dan tiga wanita itu kemudian dibawa ke hospital Lesbos untuk bedah siasat, selepas tiga bot peronda dan sebuah helikopter polis terbabit dalam misi pencarian.

Menurut pengawal pantai itu, semua mayat berkenaan adalah warga asing dan pencarian masih dilakukan bagi mengesan sama ada terdapat mangsa lain serta kapal dinaiki mereka.

Lesbos, sebuah pulau di Laut Aegean berhampiran pantai barat Turki, adalah lokasi yang kerap dijadikan transit untuk PATI bergerak ke Eropah barat dari Asia dan Asia Barat.

Greece, yang dibantu agensi sempadan Kesatuan Eropah (EU), Frontex, memperketat pemeriksaan serta mengehadkan kehadiran PATI di pulau itu sejak beberapa tahun kebelakangan.

Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UNHCR membangkitkan kebimbangan bulan lalu berhubung laporan mengatakan Greece terbabit dalam hampir 540 kes penghantaran pulang PATI secara tidak rasmi dari negara itu dan di laut berhampiran Turki sejak 2020.

Kerajaan Greece pula menafikan pihaknya menolak kehadiran PATI secara salah.

Hampir satu juta individu melalui kepulauan Greece untuk menyusup masuk ke barat Eropah ketika kemuncak krisis PATI dihadapi Eropah pada 2015. - AFP

Berita Harian X