Ahad, 27 Februari 2022 | 6:48pm
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky. - Foto AFP
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky. - Foto AFP

Kyiv sedia berunding, tetapi tolak cadangan Moscow

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata beliau bersedia berbincang dengan Russia, namun menolak desakan Moscow untuk mengadakan rundingan di Belarus.

Ini kerana katanya, Belarus menjadi tempat kemasukan pencerobohan oleh pasukan penceroboh.

"Warsaw, Bratislava, Budapest, Istanbul, Baku. Kami mencadangkan kesemuanya," kata Zelensky dalam ucapan yang disiarkan dalam talian.

"Mana-mana saja bandar lain di negara yang ada peluru berpandu di wilayahnya yang tidak membenarkan ia terbang akan sesuai dengan kami,"

"Itu satu-satunya cara yang membolehkan perbincangan berjalan dengan jujur dan boleh menamatkan peperangan," kata presiden berusia 44 tahun itu.

Zelensky berkata demikian selepas jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, memberitahu agensi berita Russia bahawa Moscow bersedia untuk rundingan dan menghantar delegasi ke bandar Gomel di Belarus.

"Kami akan bersedia untuk memulakan perbincangan di Gomel," kata Peskov.

Khamis lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin, melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine menyebabkan kira-kira 200 orang awam terkorban, yang kemudiannya mendapat kecaman global.

Moscow berkata, tentera Kyiv mesti menyerah diri dan negara itu harus bersetuju untuk menjadi wilayah 'neutral', keadaan yang dilihat secara meluas sebagai tidak boleh diterima oleh Ukraine.

Sumber barat memberitahu, tentera darat Russia memasuki Ukraine dari utara, timur dan selatan, namun terpaksa berhadapan tentangan hebat daripada tentera Ukraine, satu tindakan yang mengejutkan Moscow.

Putin hari ini mengucapkan tahniah kepada anggota pasukan khas, mengatakan mereka berjuang dengan sangat berani di Ukraine.

"Terima kasih khas kepada mereka yang berjuang dengan gagah berani menunaikan tugas ketenteraan mereka dalam melaksanakan operasi khas untuk memberikan bantuan kepada republik rakyat Donbas," kata Putin dalam ucapan di televisyen. - AFP

Berita Harian X