Ahad, 27 Februari 2022 | 5:41pm
Kenderaan tentera Russia mula memasuki bandar Kharkiv. - Foto AFP
Kenderaan tentera Russia mula memasuki bandar Kharkiv. - Foto AFP

Tentera Russia memasuki bandar kedua Ukraine

KYIV: Tentera Russia memasuki bandar kedua di Ukraine, Kharkiv, dan pertempuran sedang berlangsung hari ini, kata ketua pentadbiran wilayah pada hari keempat pencerobohan Moscow ke atas negara pro-Barat itu.

AFP melaporkan, ketika pertempuran sedang memuncak di Kharkiv, pentadbiran bandar di Kyiv, 400 kilometer ke barat iaitu ibu kota kekal sepenuhnya di bawah kawalan tentera Ukraine walaupun berlaku pertempuran dengan 'kumpulan sabotaj'.

"Kenderaan ringan Russia memasuki bandar Kharkiv.

"Angkatan bersenjata Ukraine sedang menghapuskan musuh," kata gabenor Kharkiv, Oleg Sinegubov dalam catatan Facebook, sambil menggesa penduduk supaya tidak meninggalkan tempat perlindungan.

Kementerian pertahanan Russia mendakwa, bahawa tenteranya mengepung bandar Kherson di selatan Ukraine dan bandar Berdyansk di tenggara.

"Sepanjang 24 jam lalu, bandar Kherson dan Berdyansk disekat sepenuhnya oleh angkatan tentera Russia," kata jurucakap Kementerian Pertahanan Russia, Igor Konashenkov dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tentera Russia juga menguasai Genichesk, sebuah bandar pelabuhan di sepanjang Laut Azov, dan sebuah lapangan terbang berhampiran Kherson.

Setakat hari ini, tentera Russia berkata, pihaknya memusnahkan 975 kemudahan tentera di Ukraine dan menembak jatuh lapan jet pejuang, tujuh helikopter dan 11 dron.

Konashenkov mendakwa bahawa askar Ukraine meletakkan senjata 'beramai-ramai'.

Beliau mendakwa, semalam tentera rejimen peluru berpandu pertahanan udara berhampiran Kharkiv 'secara sukarela' meletakkan senjata mereka, sambil menambah bahawa lebih daripada 470 askar Ukraine ditahan.

Tiada pengesahan terhadap dakwaan itu dan Ukraine menegaskan ramai tentera Kremlin yang cedera dalam pertempuran.

Khamis lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin, mengarahkan pencerobohan ke atas Ukraine.

Menurut sumber negara barat, tentera darat Russia memasuki Ukraine dari utara, timur dan selatan, namun berhadapan tentangan hebat daripada tentera Ukraine, yang mengejutkan Moscow.

Semalam, Moscow mengarahkan tenteranya untuk mara di Ukraine 'dari semua arah', dengan Kremlin mendakwa pihak berkuasa Ukraine enggan mengadakan rundingan. - AFP

Berita Harian X