Sabtu, 26 Februari 2022 | 9:42am
 Foto fail REUTERS
Foto fail REUTERS

Panel EMA sokong sela masa dos penggalak Moderna 3 bulan

AMSTERDAM: Jawatankuasa penasihat pengawal selia ubat-ubatan Kesatuan Eropah (EU) pada Jumaat berkata ia mengesyorkan pengurangan sela masa antara dos kedua dan dos penggalak vaksin COVID-19 Moderna Inc daripada enam bulan kepada tiga bulan.

Beberapa negara termasuk Greece dan Perancis sebelum ini telah memendekkan sela masa antara dua dos pertama dan dos penggalak vaksin COVID-19 dalam menghadapi peningkatan kes akibat varian Omicron. Ada juga yang membenarkan dos keempat untuk mereka yang terdedah.

Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) pada Disember berkata data menyokong pemberian dos penggalak yang selamat dan berkesan seawal tiga bulan selepas suntikan kedua tanpa mengubah cadangan enam bulan.

Jawatankuasa EMA bagi Produk Perubatan untuk Kegunaan Manusia (CHMP) pada Khamis turut menyokong penggunaan vaksin Moderna, Spikevax, pada kanak-kanak berumur enam hingga 11 tahun.

Vaksin itu telah diluluskan untuk digunakan pada orang dewasa dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas di Eropah.

Di Amerika Syarikat, Spikevax diluluskan untuk dua dos utama dan dos penggalak bagi orang dewasa 18 tahun ke atas dan pengawal selia kesihatan negara bulan lalu memendekkan sela masa antara suntikan utama dan penggalak kepada lima bulan daripada enam bulan.

CHMP pada Jumaat juga mengesyorkan membenarkan penggunaan Spikevax sebagai dos penggalak untuk orang dewasa yang menerima vaksin COVID-19 yang lain, menurut kemas kini di laman webnya https://www.ema.europa.eu/en/human-regulatory /overview/public-health-threats/coronavirus-disease-covid-19/covid-19-latest-updates. - REUTERS

Berita Harian X