Jumaat, 25 Februari 2022 | 7:33pm
Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian. - Foto REUTERS
Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian. - Foto REUTERS

Putin mahu 'padam Ukraine dari peta dunia' -Perancis

PARIS: Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian, hari ini menuduh Presiden Russia, Vladimir Putin cuba memusnahkan taraf negara Ukraine.

Katanya, Putin mahu 'padam Ukraine dari peta dunia' dan memberi amaran berhubung 'keselamatan' presidennya, Volodymyr Zelensky, yang dikatakan terancam.

"Ini adalah perang secara menyeluruh. Putin sudah putuskan... untuk mengeluarkan Ukraine daripada peta dunia, isu Donbas hanya alasan," katanya merujuk kepada kawasan timur Ukraine yang sebahagiannya dikawal pemisah pro-Russia.

Bercakap kepada kepada radio France Inter, Le Drian mendedahkan bahawa apa yang Putin mahukan ialah Ukraine menyerah dan dia akan meneruskan serangannya sehingga akhir.

"Keselamatan Presiden Zelensky adalah elemen penting dalam semua yang berlaku, kami sedia membantu jika perlu," katanya.

Bagaimanapun, Le Drian enggan menyatakan sama ada bantuan sedemikian boleh dilanjutkan kepada penyingkiran Putin dari Ukraine.

Pagi tadi, Zelensky berkata beliau dan keluarga akan terus berada di Ukraine, walaupun Russia menyasarkan dirinya sebagai 'sasaran nombor satu'.

Le Drian berkata, Perancis turut 'bimbang' kemungkinan serangan tentera Russia terhadap Moldova dan Georgia, dua lagi negara bekas Soviet.

Beliau turut mengecam 'campur tangan' Russia di negara lain, termasuk desakan berulang kali disuarakan Putin mengenai dakwaan rungutan sejarah negaranya sejak kejatuhan Kesatuan Soviet.

Dalam pada itu, Lithuania, sebuah negara Baltik yang kini menjadi ahli pakatan pertahanan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), semalam memutuskan perintah darurat selepas pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

"Putin mencipta semula sejarah. Dia mahu membina semula empayar Kesatuan Soviet, menunjukkan kuasanya dengan apa saja cara.

"Ini adalah realiti baharu, tidak lagi seperti ketika Perang Dingin, kerana ketika itu tiada perang. Apa yang baharu ialah ini adalah peperangan di tengah-tengah Eropah," kata Le Drian. - AFP

Berita Harian X