Jumaat, 25 Februari 2022 | 6:54am

EMA sokong dos penggalak Pfizer untuk remaja

THE HAGUE: Pengawal selia kesihatan Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis menyokong pemberian suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 Pfizer dan BioNTech kepada remaja berusia 12 tahun ke atas, serta suntikan Moderna diperluas kepada kanak-kanak berumur enam hingga 11 tahun.

Cadangan oleh Jawatankuasa Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) bagi Produk Perubatan untuk Kegunaan Manusia (CHMP) akan diikuti dengan keputusan muktamad oleh Suruhanjaya Eropah.

Langkah itu dibuat selepas beberapa negara EU mula menawarkan dos penggalak vaksin Pfizer/BioNTech kepada remaja.

Jawatankuasa vaksin Jerman pada Januari lalu mengesyorkan kanak-kanak berumur antara 12 dan 17 tahun menerima dos penggalak, tambahan kepada dua dos utama. Langkah itu kemudiannya diikuti negara lain di rantau berkenaan.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) dalam laporannya bulan ini berkata 10 negara di Kawasan Ekonomi Eropah yang terdiri daripada 27 negara anggota EU serta Liechtenstein, Iceland dan Norway, mengesyorkan dos penggalak bagi mereka yang berumur di bawah 18 tahun.

EMA berkata, keputusan negara anggota sama ada dan bila untuk menawarkan penggalak dalam kumpulan umur itu perlu mengambil kira faktor seperti penularan dan kemungkinan keterukan penyakit kepada orang muda dan risiko kesan sampingan yang diketahui seperti miokarditis komplikasi jantung yang jarang berlaku.

Agensi itu pada Khamis juga mengesyorkan kelulusan vaksin COVID Moderna untuk digunakan pada kanak-kanak berumur enam hingga 11 tahun.

Suntikan COVID Spikevax Moderna telah pun diluluskan untuk digunakan dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas di Eropah.

Di Amerika Syarikat, vaksin Moderna dibenarkan sebagai regimen dua dos utama dan dos penggalak untuk orang dewasa 18 tahun ke atas. Syarikat itu masih belum mendapat kelulusan untuk digunakan dalam kumpulan umur yang lebih muda.

Dos Spikevax untuk kanak-kanak berumur enam hingga 11 tahun ialah 50 mikrogram dan bukannya 100 mikrogram yang digunakan untuk orang berumur 12 tahun ke atas, kata EMA. - REUTERS

Berita Harian X