Khamis, 24 Februari 2022 | 7:23am
Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba, berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyampaikan perkembangan terkini krisis Russia-Ukraine. - Foto EPA
Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba, berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyampaikan perkembangan terkini krisis Russia-Ukraine. - Foto EPA

Ukraine gesa sidang khas UNSC

KYIV: Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba, hari ini menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakian sidang khas Majlis Keselamatan (UNSC) berhubung krisis Russia Ukraine.

Ini berikutan tuntutan terbaru puak pemisah pro Russia di Lugansk dan Donetsk di timur negara itu meminta bantuan ketenteraan Russia,

Presiden Russia, Vladimir Putin, awal minggu ini menandatangani dua dekri yang mengiktiraf 'Republik Rakyat Lugansk (LPR)' dan 'Republik Rakyat Donetsk (DPR)' di timur Ukraine sebagai negara merdeka dan berdaulat.

Bagaimanapun, dalam sesi tergempar UNSC, Duta Ukraine, Sergiy Kyslytsya, menegaskan sempadan negaranya kekal 'tidak boleh berubah' walaupun dengan tindakan Russia.

Pada sidang sama, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya mengkritik Russia, mengecam pengiktirafan Putin ke atas kawasan dikuasai pemberontak di Ukraine itu.

Tindakan itu disifatkan sebagai pelanggaran berat undang-undang antarabangsa dan hanya 'dalih peperangan' untuk memaksa Ukraine akur.

Berucap di sidang itu, Duta Amerika, Linda Thomas-Greenfield, mencemuh dakwaan Putin bahawa tentera Russia akan mengambil peranan pengaman di kawasan Donetsk dan Lugansk.

"Beliau menggelar mereka penjaga keamanan, ini mengarut. Kami tahu apa sebenarnya motif mereka," katanya.

Malah, China, yang sering berpihak pada Russia dalam pertikaian di UNSC, menawarkan komen singkat yang mencadangkan sedikit rasa tidak senang terhadap tindakan Russia itu.

"Semua pihak terbabit mesti mengawal diri dan mengelak sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan.

"Kami mengalu-alukan dan menggalak setiap usaha bagi penyelesaian diplomatik," kata Duta China ke PBB, Zhang Jun.

Duta Russia ke PBB, Vasily Nebenzya, berkata Moscow masih 'terbuka kepada diplomasi bagi penyelesaian diplomatik', tetapi memberi amaran terhadap apa yang digelarnya sebagai tindakan ganas Ukraine.

"Membenarkan pertumpahan darah baru di Donbass adalah sesuatu yang kami tidak berniat lakukan," katanya merujuk kepada Donetsk dan Lugansk.

Duta Britain, Barbara Woodward, berkata UNSC mesti bersatu dalam menggesa Russia 'menghormati kewajipannya'.

"Russia membawa kita ke jurang bahaya, kami menggesa Russia supaya berundur," katanya. - AGENSI

Berita Harian X