Selasa, 22 Februari 2022 | 10:55am
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy. - Foto AFP
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy. - Foto AFP

Mahu keamanan, tetapi tidak akan serahkan tanah kepada Russia - Zelenskiy

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy menuduh Russia memusnahkan usaha damai dan menolak melakukan sebarang konsesi wilayah dalam ucapan kepada negara itu hari ini.

Zelenskiy bercakap selepas keputusan Russia mengiktiraf secara rasmi dua wilayah timur Ukraine yang disokong Moscow sebagai merdeka dan menghantar tentera ke rantau itu, mempercepatkan krisis yang dikhuatiri Barat boleh mencetuskan perang besar.

Selepas mempengerusikan mesyuarat majlis keselamatan, Zelenskiy menuduh Russia melanggar wilayah kedaulatan Ukraine dan berkata, ia boleh membawa maksud Moscow menarik balik rundingan damai Minsk yang bertujuan menamatkan konflik pemisah di timur Ukraine.

Zelenskiy berkata, Ukraine mahu menyelesaikan krisis melalui diplomasi.

"Kami komited kepada laluan keamanan dan diplomatik, kami akan mengikutinya dan hanya itu.

"Tetapi kami berada di tanah kami sendiri, kami tidak takut kepada apa-apa dan sesiapa pun, kami tidak berhutang apa-apa kepada sesiapa pun dan kami tidak akan memberi apa-apa kepada sesiapa pun," kata Zelenskiy.

Beliau menggesa sidang kemuncak tergempar pemimpin Ukraine, Russia, Jerman dan Perancis sambil turut menggesa sekutu Ukraine mengambil tindakan terhadap Russia.

Seorang saksi Reuters memberitahu, melihat pergerakan tentera yang luar biasa melalui bandar Donetsk selepas Presiden Russia, Vladimir Putin memberitahu kementerian pertahanan Russia untuk menghantar pasukan ke dua wilayah itu untuk 'menjaga keamanan'.

Tindakan Russia itu mengundang kecaman Amerika Syarikat (AS) dan Eropah dengan berikrar sekatan baharu walaupun tidak jelas sama ada tindakan ketenteraan Russia akan dianggap oleh Barat sebagai permulaan pencerobohan berskala penuh.

Kawasan itu sudah pun dikawal oleh pemisah yang disokong Russia.

Pentadbiran Zelenskiy menyuarakan kekecewaan terhadap keengganan Barat untuk mengenakan sekatan awal selepas Russia mengumpulkan lebih 100,000 tentera berhampiran sempadan Ukraine dalam beberapa minggu kebelakangan ini. - Reuters

Berita Harian X