Selasa, 22 Februari 2022 | 7:31am
Britain akan menawarkan lagi suntikan dos penggalak COVID-19 kepada warga emas, penduduk rumah jagaan dan individu yang mengalami kekurangan imunisasi. - Foto Reuters
Britain akan menawarkan lagi suntikan dos penggalak COVID-19 kepada warga emas, penduduk rumah jagaan dan individu yang mengalami kekurangan imunisasi. - Foto Reuters

Britain tawar dos penggalak tambahan untuk kumpulan berisiko

LONDON: Britain akan menawarkan lagi suntikan dos penggalak COVID-19 kepada warga emas, penduduk rumah jagaan dan individu yang mengalami kekurangan imunisasi sebagai sebahagian daripada langkah untuk hidup secara normal tanpa sekatan undang-undang.

Menteri kesihatan Britain, Sajid Javid, berkata beliau akan menerima cadangan penasihat vaksin negara itu dan menjelaskan, keempat-empat negara di United Kingdom (UK) akan menawarkan suntikan tambahan.

"Kami tahu imuniti terhadap COVID-19 mula berkurangan dari semasa ke semasa.

"Itulah sebabnya kami menawarkan dos penggalak pada musim bunga kepada individu yang berisiko tinggi mendapat jangkitan yang serius bagi memastikan mereka mengekalkan tahap perlindungan yang tinggi.

"Mereka yang layak akan memperoleh vaksin kira-kira enam bulan selepas dos terakhir," katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri, Boris Johnson sebelum ini dilaporkan berkata, kejayaan dalam pemberian vaksin, di samping dos penggalak sebagai faktor utama dalam membuka semula ekonomi England dan beliau dijangka akan menetapkan butiran lanjut mengenai rancangan itu lewat hari ini.

Jawatankuasa Bersama mengenai Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) Britain, berkata mereka menasihatkan supaya pemberian suntikan tambahan sebagai langkah berjaga-jaga.

JCVI juga berkata, mereka menjangkakan program dos penggalak selanjutnya pada musim luruh ini juga diperlukan walaupun masih terlalu awal untuk menetapkan butiran program itu.

"JCVI akan meneruskan semakan semula program vaksinasi dan situasi epidemiologi, terutama berkaitan dengan masa dan nilai dos untuk orang dewasa yang kurang terdedah serta mereka yang berada dalam kumpulan risiko klinikal menjelang musim luruh 2022," kata Pengerusi JCVI, Wei Shen Lim. - Agensi

Berita Harian X