Isnin, 21 Februari 2022 | 8:01pm
Presiden AS, Joe Biden (kiri) dan Presiden Russia, Vladimir Putin. - Foto AFP
Presiden AS, Joe Biden (kiri) dan Presiden Russia, Vladimir Putin. - Foto AFP

Terlalu awal untuk anjur sidang kemuncak Biden-Putin - Kremlin

MOSCOW: Kremlin hari ini berkata, masih terlalu awal untuk berbincang berhubung penganjuran sidang kemuncak antara Presiden Russia dan Amerika Syarikat (AS), selepas Paris mengumumkan kemungkinan mengadakan mesyuarat bagi meredakan ketegangan mengenai Ukraine.

Perancis hari ini memaklumkan, persetujuan secara dasar sudah dicapai untuk Presiden AS, Joe Biden untuk bertemu dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, selagi Moscow tidak menghantar tenteranya ke Ukraine.

"Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai sebarang rancangan khusus bagi menganjurkan sebarang bentuk sidang kemuncak," kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov kepada pemberita.

Peskov berkata, terdapat persefahaman yang dialog perlu diteruskan di peringkat menteri luar, selain 'tiada rancangan konkrit disediakan' untuk sidang kemuncak presiden.

"Jika perlu, sudah tentu, presiden Russia dan AS boleh memutuskan untuk membuat panggilan telefon atau berhubung melalui kaedah lain.

"Pertemuan boleh diadakan jika ketua negara menganggapnya sesuai," katanya.

Peskov berkata, Putin dijadual akan mempengerusikan mesyuarat kecemasan Majlis Keselamatan Kremlin, lewat hari ini.

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov dijangka bercakap dengan rakan sejawatannya dari Perancis, Jean-Yves Le Drian, melalui telefon hari ini, sebelum rundingan yang dijadualkan bersama Setiausaha Negara AS, Antony Blinken pada Khamis.

Ketegangan antara Moscow dan ibu negara Barat semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu, susulan serangan yang dikhuatiri akan dilakukan Russia ke atas Ukraine dan jumlah tentera Moscow yang besar di sekitar sempadan Ukraine.

Peskov berkata, pertempuran baharu antara pemisah dan tentera Ukraine menjadikan keadaan di lapangan 'sangat tegang'.

"Kami bercakap mengenai tindakan provokatif dan agresif yang dilakukan tentera Ukraine, yang membahayakan nyawa orang ramai," kata Peskov.

Pertempuran tercetus antara pemisah pro-Moscow dan tentera Ukraine pada 2014 selepas Russia mengambil alih semenanjung Crimea dari Ukraine, dengan lebih 14,000 orang terbunuh dalam pertempuran itu. - AFP

Berita Harian X