Isnin, 21 Februari 2022 | 3:19pm
Seorang anggota tentera dari Pasukan Tentera Ukraine berjalan berhampiran kampung Novognativka, wilayah Donetsk. - Foto AFP
Seorang anggota tentera dari Pasukan Tentera Ukraine berjalan berhampiran kampung Novognativka, wilayah Donetsk. - Foto AFP

Russia ada senarai warga Ukraine untuk dibunuh - AS

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), negara itu mempunyai maklumat Russia memiliki senarai warga Ukraine 'untuk dibunuh atau dihantar ke kem' jika berlaku pencerobohan.

Perkara itu dinyatakan dalam surat yang dihantar kepada Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet dan diperoleh AFP, semalam.

Surat itu dikeluarkan ketika Washington memberi amaran mengenai pencerobohan yang akan dilakukan tentera Russia, yang sudah berkumpul berhampiran sempadan Ukraine dan menyatakan AS 'sangat prihatin' serta mengingatkan berhubung kemungkinan berlakunya 'malapetaka hak asasi manusia'.

Surat itu menyatakan, AS mempunyai 'maklumat boleh dipercayai yang menunjukkan tentera Russia membuat senarai warga Ukraine yang dikenal pasti untuk dibunuh atau dihantar ke kem selepas penguasaan tentera.

"Kami turut mempunyai maklumat boleh dipercayai yang tentera Russia kemungkinan akan menggunakan langkah membawa maut untuk menyuraikan protes aman atau sebaliknya menentang latihan aman yang dianggap tindakan melawan daripada penduduk awam," kata surat itu.

Surat itu, yang ditandatangani Duta AS ke PBB di Geneva, Bathsheba Nell Crocker, memberi amaran pencerobohan Russia ke atas Ukraine akan turut disertai salahlaku seperti penculikan atau penyeksaan, selain boleh menyasarkan antara lain penentang politik, agama dan etnik minoriti.

AS dan sekutu Barat menganggarkan, Russia sudah menempatkan lebih 150,000 tentera berhampiran sempadan Ukraine dalam tempoh beberapa minggu lalu.

Moscow menafikan ia merancang untuk menyerang jirannya, namun sedang mendapatkan jaminan yang Ukraine tidak akan menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), selain pakatan Barat akan menarik semula tentera dari Eropah Timur, yang mana tuntutan itu ditolak sebelum ini. - AFP

Berita Harian X