Isnin, 21 Februari 2022 | 9:58am
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. - Foto EPA
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. - Foto EPA

Britain bakal batal sekatan COVID-19

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson hari ini akan menetapkan rancangan pembatalan sekatan COVID-19 sebagai sebahagian daripada strategi 'hidup bersama COVID', selain usaha menjadi negara awal keluar daripada pandemik itu berbanding negara ekonomi lain.

Ketika Hong Kong mewujudkan unit-unit pengasingan dan Eropah mengekalkan penjarakan sosial serta peraturan vaksin, Johnson akan mengumumkan pemansuhan sebarang keperluan pandemik yang menjejaskan kebebasan peribadi, iaitu sehari selepas Ratu Elizabeth II disahkan positif virus terbabit.

Di bawah rancangan itu yang dirancang berminggu lamanya, Britain akan menjadi negara Eropah utama membenarkan individu dijangkiti COVID-19 untuk bebas ke kedai, pengangkutan awam dan bekerja.

Johnson dilaporkan berkata, dia tidak mahu orang ramai 'bersikap melulu', namun kempen vaksinasi yang dilaksanakan bermakna kerajaan mahu beralih daripada keperluan negara kepada tanggungjawab peribadi.

Di kalangan individu dewasa, sebanyak 81 peratus sudah menerima dos penggalak COVID-19 di England.

"Hari ini akan menandakan detik kebanggaan selepas satu daripada tempoh paling sukar dalam sejarah negara dengan kita mula belajar untuk hidup bersama COVID-19," katanya dalam satu kenyataan menjelang pengumuman di Parlimen, hari ini.

Britain mencatat lebih 160,000 kematian dalam tempoh 28 hari dan menjadi negara kedua tertinggi di Eropah selepas Russia, dengan purata kes jangkitan sekitar 43,000 kes serta 144 kematian dalam satu hari pada minggu lalu.

Bagaimanapun, ketua-ketua kesihatan menggesa Johnson supaya tidak menjadi 'terlalu bersemangat' dengan kesihatan negara, malah penasihat kerajaan sendiri mengatakan, menghentikan sekatan boleh menyebabkan kepada peningkatan kes yang pantas apabila orang ramai mengubah tingkah laku dengan cepat.

Setakat ini, kerajaan Britain berusaha untuk memastikan ekonomi dibuka dengan menggabungkan ujian pantas secara besar-besaran bersama keperluan undang-undang selama lima hari kuarantin.

Ia pendekatan yang membolehkan negara itu merancang bagi berdepan varian Omicron yang sangat mudah dijangkiti.

Britain juga mengatakan akan mengekalkan beberapa sistem pengawasan dan rancangan sebagai langkah kecemasan sekiranya varian baharu muncul.

Johnson juga menjelaskan, kerajaan tidak boleh terus membelanjakan pada kadar £2 bilion (AS$2.7 bilion) sebulan untuk ujian saringan, malah beliau menerima tekanan daripada ramai ahli Parti Konservatif untuk membatalkan sekatan COVID-19 yang didakwa sebagai kejam. - Agensi

Berita Harian X