Sabtu, 19 Februari 2022 | 10:19pm
Presiden Russia, Vladimir Putin (kanan) dan sekutunya dari Belarusia, Alexander Lukashenko (kiri) menyaksikan latihan ketenteraan merangkumi pelancaran peluru berpandu balistik, Pasukan Pencegah Strategik Grom-2022. - Foto AFP
Presiden Russia, Vladimir Putin (kanan) dan sekutunya dari Belarusia, Alexander Lukashenko (kiri) menyaksikan latihan ketenteraan merangkumi pelancaran peluru berpandu balistik, Pasukan Pencegah Strategik Grom-2022. - Foto AFP

Putin selia latihan peluru berpandu

MOSCOW: Russia hari ini mengadakan satu lagi pertunjukan ketenteraan dengan Presiden Vladimir Putin menyelia latihan membabitkan peluru berpandu berkeupayaan nuklear.

Latihan ketenteraan Pasukan Pencegah Strategik Grom-2022 itu merangkumi pelancaran peluru berpandu balistik.

Pertunjukan itu dibuat beberapa jam selepas Amerika Syarikat (AS) memberi amaran berhubung kepastian mengenai rancangan Moscow menyerang Ukraine dalam beberapa hari lagi.

Sementara itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, menuju ke Jerman untuk meningkatkan sokongan dalam kalangan sekutu Barat, ketika pertempuran semakin meningkat di timur negara itu termasuk meragut nyawa seorang askar Ukraine.

Amaran dramatik AS mengenai peningkatan pergerakan di barisan hadapan dan pemindahan orang awam dari wilayah pemberontak disokong Russia di Ukraine meningkatkan kebimbangan konflik besar bakal berlaku di Eropah.

Namun, Kremlin menegaskan tidak mempunyai rancangan untuk menyerang jirannya, dengan Moscow meneruskan usaha mencari integrasi jangka panjang bersama NATO dan Kesatuan Eropah (EU).

AS menegaskan Moscow sudah membuat keputusan susulan penempatan kira-kira 150,000 tentera Russia di sempadan Ukraine, yang mungkin melonjak kepada 190,000 orang jika termasuk pasukan pemisah menyokongnya di bahagian timur.

Presiden AS, Joe Biden, semalam berkata pihaknya yakin Putin sudah membuat gesaan untuk menyerang, tanpa menghiraukan amaran ia akan mendorong sekatan besar-besaran Barat terhadapnya.

Katanya, serangan itu boleh berlaku dalam 'minggu' atau 'hari' berikutnya dan sasaran merangkumi ibu kota Kyiv, bandar dengan 2.8 juta penduduk.

"Setakat ini, saya yakin dia sudah membuat keputusan terbabit," katanya dalam kenyataan disiarkan di Rumah Putih.

Kementerian Pertahanan Russia berkata, 'latihan dirancang' hari ini, akan menguji pelancaran serta peluncuran peluru berpandu balistik.

Katanya, latihan itu akan membabitkan hampir semua cabang angkatan tentera Russia, termasuk angkatan aeroangkasa, roket strategiknya serta armada Laut Utara dan Laut Hitam yang mempunyai kapal selam bersenjata nuklear.

"Putin berkemungkinan besar akan menonton latihan dari pusat situasi," kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov.

Biarpun ada amaran pencerobohan, pejabat Zelensky berkata, beliau tidak akan mengubah rancangan untuk menghadiri sendiri Persidangan Keselamatan Munich hari ini.

Pemimpin Ukraine itu akan bertemu Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, Canselor Jerman Olaf Scholz dan Naib Presiden AS Kamala Harris, katanya. - AFP

Berita Harian X