Selasa, 15 Februari 2022 | 1:20pm
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Pandemik COVID-19 sudah berakhir hanya naratif palsu - WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata ada negara yang kadar vaksinasi tinggi dan tahap kematian akibat COVID-19 rendah membuat 'naratif palsu' bahawa pandemik itu sudah berakhir.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata demikian pada sidang video bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken dan mesyuarat di Washington di mana beliau turut berterima kasih kepada kepemimpinan kesihatan AS.

Mesyuarat Tindakan Global COVID-19 yang dipanggil oleh AS mengenai wabak itu, dua tahun selepas diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan awam global yang membimbangkan antarabangsa oleh WHO, yang juga badan perubatan tertinggi dunia.

"Inisiatif bersejarah ini datang pada masa yang kritikal.

"Di sesetengah negara, liputan vaksin yang tinggi digabungkan dengan keterukan omicron yang lebih rendah mendorong naratif palsu bahawa wabak itu sudah berakhir," lapor Agensi Anadolu yang memetik Tedros sebagai berkata pada mesyuarat itu.

Beliau berkata, pada masa yang sama, liputan vaksin dan kadar ujian saringan yang rendah di negara lain mewujudkan keadaan untuk varian baharu muncul.

"Kita boleh mengawal wabak tahun ini - tetapi kita menghadapi risiko lebih tinggi untuk mensia-siakan peluang berkenaan," kata Tedros.

Katanya, pada masa ini, sebanyak 116 negara tidak mencapai sasaran 70 peratus daripada populasi negara sudah divaksin menjelang pertengahan tahun ini.

Tedros turut memetik inisiatif Mempercepatkan Akses kepada Peralatan Membanteras COVID (ACT-A) itu dan kerjasama dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) berupaya mengatasi beberapa kekangan bekalan dan penghantaran yang dihadapi tahun lalu, dengan lebih daripada satu bilion dos vaksin sudah dihantar.

ACT-A yang diterajui WHO bertujuan membangun, menghasil, memperoleh dan mengagihkan peralatan bagi menangani pandemik termasuk vaksin, ujian, rawatan serta peralatan perlindungan diri (PPE).

"Di banyak negara, isu utamanya ialah kita perlu mendapat sokongan pemimpin politik untuk mempercepatkan pemberian vaksin dengan segera.

"Kita mengalu-alukan pembabitan berterusan semua negara yang diwakili di sini hari ini, barisan usaha yang dicadangkan oleh AS dan penjajaran berterusan dengan ACT-A dan Amanah Pemerolehan Vaksin Afrika (AVAT)."

Menurut WHO, akses kepada ACT- A ialah kerjasama global yang inovatif untuk mempercepatkan pembangunan, pengeluaran dan akses saksama kepada ujian, rawatan dan vaksin COVID-19.

AVAT yang diperbadankan di Mauritius bertindak sebagai ejen pembelian berpusat bagi negara anggota Kesatuan Afrika untuk mendapatkan vaksin yang diperlukan, bagi mencapai sasaran vaksinasi COVID-19 Afrika, sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk Afrika sudah divaksin.

Tedros turut meminta semua negara untuk memberi vaksin dan menyokong sasaran program vaksinasi global WHO sebanyak 70 peratus.

"Kedua, untuk menyelamatkan nyawa sekarang, kami meminta semua negara menyumbang bahagian saksama mereka untuk membiayai sepenuhnya ACT-A, terutamanya untuk keperluan segera sebanyak AS$16 bilion (RM67 bilion)," katanya.

Tedros juga perlu menyokong model seperti hab pemindahan teknologi mRNA di Afrika Selatan dan rangkaian di seluruh dunia untuk membina kapasiti mengawal COVID-19 dan penyakit lain yang boleh dicegah. - AGENSI

Berita Harian X