Isnin, 14 Februari 2022 | 6:59am
Penyokong Konvoi Kebebasan meraikan pelepasan peserta konvoi dari Strasbourg, Perancis pada 11 Februari 2022. - Foto AFP
Penyokong Konvoi Kebebasan meraikan pelepasan peserta konvoi dari Strasbourg, Perancis pada 11 Februari 2022. - Foto AFP

Konvoi antivaksin Perancis menuju ke Brussels

LILLE, PERANCIS: Kira-kira tiga ratus kenderaan yang menyertai konvoi protes terhadap peraturan COVID-19 ke Brussels tiba di Lille, utara Perancis, pada Ahad.

Konvoi membawa bendera ke utara berlaku selepas 97 individu ditahan di Paris pada Sabtu ketika ribuan penunjuk perasaan mengingkari larangan cuba menyekat lalu lintas, dengan 81 masih ditahan.

Konvoi itu, walaupun lebih kecil daripada hampir 3,000 kenderaan yang berkumpul di ibu negara dari bandar-bandar di seluruh Perancis, berhenti di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di luar Lille, di selatan sempadan Belgium.

"Kami akan ke Brussels untuk cuba menyekatnya, untuk melawan dasar kawalan kekal ini," kata Jean-Pierre Schmit, seorang penganggur berusia 58 tahun yang berasal dari Toulouse.

Bagi Sandrine, 45, yang berasal dari Lyon, tindak balas kerajaan terhadap krisis COVID-19 mendedahkan bahawa "kami kehilangan kebebasan sedikit demi sedikit, dengan cara yang berbahaya."

'Konvoi kebebasan' kereta, trak dan campervan antara satu daripada beberapa yang dianjurkan di seluruh dunia, diilhamkan daripada kebuntuan pemandu lori dengan pihak berkuasa di Kanada.

Di Perancis, penunjuk perasaan menyasarkan bantahan khususnya terhadap pas vaksin yang diperlukan untuk memasuki restoran, kafe dan tempat awam lain yang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha inokulasi Presiden Emmanuel Macron.

Peserta turut membangkitkan kenaikan kos bahan api dan tenaga dalam demonstrasi itu.

Lebih 100 kenderaan berkumpul di jalan Champs-Elysees di Paris walaupun anggota keselamatan berusaha menyuraikan mereka keluar dari bandar dengan gas pemedih mata.

Pendakwa raya berkata Jerome Rodrigues, seorang ketua gerakan protes 'jaket kuning', antara yang ditahan dalam protes Sabtu, walaupun peguamnya menafikan sebarang peranan organisasi dan menggelarnya sebagai banduan politik.

Jabatan Polis Paris juga berkata siasatan dalaman dibuka selepas video muncul di media sosial menunjukkan seorang pegawai mengacukan pistol ke arah pemandu.

Demonstrasi dengan konvoi dari bandar-bandar di seluruh Perancis berlaku dua bulan sebelum pemilihan presiden yang mana Macron dijangka akan dilantik semula. - AFP

Berita Harian X