Jumaat, 11 Februari 2022 | 7:53am
Konvoi ratusan trak di Kanada menghalang jalan utama menuju ke bangunan Parlimen di Ottawa sebagai bantahan terhadap mandat vaksin dan COVID-19. - Foto AFP
Konvoi ratusan trak di Kanada menghalang jalan utama menuju ke bangunan Parlimen di Ottawa sebagai bantahan terhadap mandat vaksin dan COVID-19. - Foto AFP

Perancis tidak tolak ansur tangani protes COVID-19 seperti di Kanada

PARIS: Polis Perancis semalam memberi amaran akan menghalang protes mirip kepada gerakan 'Konvoi Kebebasan' di Kanada sekarang, ketika penunjuk perasaan membantah peraturan COVID-19 mula menuju ke Paris.

Bantahan itu yang diilhamkan daripada gerakan pemandu trak di Kanada sehingga melumpuhkan ibu kota, Ottawa, kini menyaksikan pemandu lori kenderaan lain dari seluruh Perancis bersepakat untuk mengadakan perhimpunan sama di Paris hari ini.

Tindakan itu menimbulkan kebimbangan berulangnya protes antikerajaan "jaket kuning" yang pernah tercetus pada 2018, ketika hanya tinggal dua bulan sebelum presiden Perancis, Emmanuel Macron. dijangka bertanding semula.

Ketua Polis, Didier Lallement, sudah mengarahkan pegawai supaya 'bertegas' dengan mereka yang melanggar arahan jangan menyertai tunjuk perasan itu.

"Akan ada tindakan khas... untuk mengelakkan sekatan di jalan-jalan utama, pengeluaran saman dan menahan mereka yang melanggar larangan protes ini," kata pasukan polis Paris dalam satu kenyataan.

Perintah larangan di bandar itu akan terus berkuatkuasa sehingga Isnin ini.

Pihak polis turut berkata, individu yang terbabit melakukan halangan lalu lintas dalam protes di jalan raya berdepan hukuman denda 4,500 euro (RM21,495) dan penggantungan lesen memandu selama tiga tahun.

"Jika mahu mengadakan demonstrasi dengan cara biasa, mereka boleh berbuat demikian. Bagaimanapun, jika mereka mahu menyekat lalu lintas, kami akan campur tangan," kata Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin, kepada stesen televisyen LCI.

Pihak berkuasa di negara jiran, Belgium juga mengeluarkan amaran berikutan peserta demonstrasi mahu meneruskan perjalanan ke Brussels, ibu kota Belgium dan Kesatuan Eropah, pada Isnin ini untuk apa yang mereka gelar 'penyatuan Eropah'.

'Freedom Convoy' atau Konvoi Kebebasan bermula sebagai gerakan menentang keperluan vaksin di Kanada bagi pemandu lori rentas sempadan. - AFP

Berita Harian X