Rabu, 9 Februari 2022 | 4:34pm
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto REUTERS
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto REUTERS

WHO gesa negara kaya bantu biayai program COVID-19

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara kaya menyumbang kepada dana 'perkongsian saksama' yang diperlukan untuk memerangi COVID-19.

Agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata sumbangan berjumlah AS$16 bilion (RM66.96 bilion) diharapkan sebagai keperluan mendesak.

Katanya, rangsangan tunai segera terhadap Mempercepatkan Akses kepada Peralatan Membanteras Covid (ACT-A) itu berupaya menamatkan COVID-19 sebagai kecemasan kesihatan global pada tahun ini.

ACT-A yang diterajui WHO bertujuan membangun, menghasil, memperoleh dan mengagihkan peralatan bagi menangani pandemik termasuk vaksin, ujian, rawatan serta peralatan perlindungan diri (PPE).

Kemudiannya ACT-A memperkenalkan COVAX, yang ditubuhkan untuk memastikan negara miskin mampu mengakses bekalan vaksin secara saksama berikutan negara kaya sudah menempah dos berlebihan dari negara pengeluar.

COVAX dilaporkan sudah mengagihkan bekalan berbilion dos vaksin pada pertengahan Januari.

Bagaimanapun, ACT-A memerlukan kira-kira AS$23.4 bilion (RM97.93 bilion) bagi menampung program yang dilaksanakan antara Oktober lalu sehingga September depan, namun sehingga kini hanya berjaya mengumpul AS$800 juta (RM3.35 bilion).

Justeru, skim itu memerlukan dana pendahuluan sebanyak AS$16 bilion (RM66.96 bilion) daripada negara kaya untuk 'menampung pembiayaan segera', dengan selebihnya dibiayai sendiri oleh negara berpendapatan sederhana.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata faktor penularan pantas varian Omicron menjadikan keperluannya lebih mendesak untuk semua ujian, rawatan dan vaksin diagihkan secara saksama.

"Jika negara berpendapatan tinggi membayar bahagian saksama mereka daripada kos ACT-Accelerator, perkongsian itu boleh menyokong negara berpendapatan rendah dan sederhana.

"Ini termasuk usaha mengatasi tahap vaksinasi COVID-19 yang rendah, kekurangan kemampuan melakukan ujian dan mengatasi masalah kekurangan ubat-ubatan.

"Sains memberikan kita alat untuk memerangi COVID-19 dan jika ia dikongsi secara global sebagai solidariti, kita boleh menamatkan COVID-19 sebagai kecemasan kesihatan global tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

Kira-kira 0.4 peratus daripada 4.7 bilion ujian COVID-19 yang diagihkan secara global semasa pandemik digunakan di negara berpendapatan rendah.

Sementara itu, hanya 10 peratus penduduk negara terbabit menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

WHO berkata, ketidaksamaan yang besar itu bukan saja meragut nyawa dan menjejaskan ekonomi, malah turut mengundang risiko kemunculan varian baharu lebih berbahaya.

Ini secara langsung boleh menjejaskan keberkesanan peralatan membanteras COVID-19 yang sedia ada selain turut mengancam negara di mana majoriti penduduknya sudah divaksin.

ACT-A menyelaras model pembiayaan 'perkongsian saksama' baharu mengenai jumlah sumbangan setiap negara kaya di dunia, berdasarkan saiz ekonomi negara terbabit dan apa yang diperoleh daripada pemulihan ekonomi lebih pantas.

Pada belanjawan ACT-A 2020-21, hanya enam negara iaitu Kanada, Jerman, Kuwait, Norway, Arab Saudi dan Sweden memenuhi atau melebihi apa yang sepatutnya menjadi komitmen perkongsian saksama mereka.

Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, yang juga pengerusi bersama majlis pemudahcara ACT-A, berkata akses tidak adil kepada vaksin, ujian dan rawatan COVID-19 berupaya memanjangkan lagi pandemik.

"Justeru, saya menggesa rakan pemimpin meningkatkan solidariti, memenuhi perkongsian saksama serta membantu menyelamatkan nyawa kita daripada virus ini," katanya.

Ramaphosa dan Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store, selaku rakan pengerusi bersamanya, sudah menulis surat kepada 55 kerajaan semua negara berpendapatan tinggi, negara G20 berpendapatan sederhana atas G20 dan dua negara berpendapatan sederhana.

Antara lain, ia menggariskan 'perkongsian saksama' mereka dan menggalakkan mereka untuk mengeluarkan dana. - AFP

Berita Harian X