Rabu, 9 Februari 2022 | 10:29am
Presiden Perancis, Emmanuel Macron (kiri) bersama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy pada sidang media selepas mengadakan pertemuan di Kyiv, Ukraine. - Foto REUTERS
Presiden Perancis, Emmanuel Macron (kiri) bersama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy pada sidang media selepas mengadakan pertemuan di Kyiv, Ukraine. - Foto REUTERS

Konflik Russia,Ukraine: Macron cuba jadi pendamai

KYIV: Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menjadi pemimpin pertama dalam kalangan kuasa utama Barat bertemu Presiden Russia, Vladimir Putin, selepas mengerahkan tenteranya ke sempadan Ukraine.

Macron yakin, usaha dan langkah awal wajar diambil dengan meredakan krisis dan menggesa semua pihak sentiasa tenang.

Macron yang mengambil langkah berbeza tidak seperti pemimpin Amerika Syarikat (AS) dan Britain yang dilihat 'agresif' mendakwa Russia akan menyerang negara jirannya, sanggup 'terbang' dari Moscow ke Kyiv, untuk bertindak sebagai orang tengah dalam 'kes' profil tinggi itu.

Bagaimanapun, tiada sebarang 'kejayaan' diumumkan Presiden Perancis itu setakat ini,

Menurut seorang pegawai pejabatnya semalam, Putin berjanji kepada Macron bahawa Russia tidak sesekali akan melakukan gerakan ketenteraan berhampiran Ukraine buat masa ini.

Macron pula berpandangan rundingannya membantu mengekang krisis daripada terus bertambah tegang.

Putin dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, kedua-dua pemimpin itu ada memberitahu Macron bahawa mereka komited terhadap prinsip perjanjian damai 2014 iaitu perjanjian Minsk yang menawarkan laluan untuk menyelesaikan pertikaian berterusan.

"Perkongsian keazaman ini adalah salah satu cara membenarkan kita membina keamanan, salah satu jalan untuk membina penyelesaian politik berdaya maju," kata Macron dalam sidang media berama Zelenskiy.

"Tenang...adalah mustahak daripada semupa pihak sama ada ketika berkata-kata dan perbuatan. Ketenangan yang anda tunjukkan dan ditunjukkan oleh rakyat Ukraine dalam menghadapi tekanan tentera di sempadan dan negara anda," kata Macron yang memuji Zelenskiy.

Bagi pihak Zelenskiy pula, beliau agak sangsi dengan sebarang jaminan yang diterima Macron daripada Putin.

"Saya tidak begitu mempercayai kata-kata. Saya percaya bahawa setiap ahli politik boleh telus dengan mengambil langkah konkrit," katanya.

Macron kemudiannya berkunjung ke Berlin untuk bertemu dengan Canselor Jerman, Olaf Scholz.

"Matlamat bersama kami adalah mengekang peperangan di Eropah," kata Scholz kepada wartawan. - REUTERS

Berita Harian X