TUNIS: Tentera Laut Tunisia menyelamatkan 163 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk wanita dan kanak-kanak di luar pesisir pantai timur negara itu.
Menurut Kementerian Pertahanan semalam, berkata dalam operasi bersama pengawal pantai, PATI berkenaan termasuk 163 warga Tunisia dan seorang warga Maghribi, diselamatkan kelmarin.
Kumpulan turut merangkumi sembilan wanita dan 16 kanak-kanak itu ditemui dalam sebuah bot kira-kira 12 kilometer (km) di luar pesisir pantai Sfax, antara lokasi utama PATI untuk keluar menuju ke Eropah, lazimnya Itali.
Kesemua mereka berusia antara lapan dan 48 tahun, yang menurut Kementerian Pertahanan, cuba memulakan pelayaran Jumaat lalu untuk menyusup melintasi sempadan maritim bagi memasuki Eropah.
PATI terbabit dibawa ke pelabuhan perikanan Sfax, di mana mereka diserahkan kepada pasukan pengawal pantai.
Sejak kebelakangan ini, Tunisia dan negara jiran, Libya semakin kerap digunakan oleh PATI yang terdesak mahu memasuki Eropah untuk memulakan pelayaran, kerap kali menggunakan bot usang yang tidak sesuai untuk pelayaran jarak jauh.
Menurut badan kebajikan dan kemanusiaan, jajaran laut di tengah Mediterranean itu kini adalah antara laluan PATI paling berbahaya di dunia.
Bilangan PATI juga meningkat ketara pada 2021, dengan hampir 55,000 PATI tiba di Itali dalam tempoh 10 bulan pertama berbanding kurang 30,000 pada tahun sebelumnya.
Suruhanjaya Tinggi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) melaporkan sekurang-kurangnya 1,300 PATI hilang atau lemas dalam tempoh berkenaan. - AFP