Selasa, 1 Februari 2022 | 3:39pm
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson pergi ke Kyiv hari iniuntuk berbincang dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky. - Foto AGENSI
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson pergi ke Kyiv hari iniuntuk berbincang dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky. - Foto AGENSI

PM Britain, Presiden Ukraine bertemu bincang ketegangan antara Russia

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, berkunjung ke Kyiv hari ini untuk berbincang dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, mengenai ketegangan yang meningkat antara Russia dengan negara itu.

Johnson yang menganggap isu itu sebagai krisis terbesar ketika bergelar Perdana Menteri, berkata United Kingdom (UK) akan sentiasa menyokong kedaulatan Ukraine.

"Adalah hak setiap rakyat Ukraine untuk menentukan bagaimana mereka ditadbir. Sebagai seorang kawan dan rakan demokratik, UK akan terus mengangkat kedaulatan Ukraine dalam menghadapi pihak yang mahu memusnahkannya.

"Kami mendesak Russia berundur dan adakan libat urus menerusi dialog untuk mencari resolusi diplomatik serta mengelak pertumpahan darah," katanya dalam satu kenyataan.

Ketika lawatan itu dibuat, kedudukan Johnson mula goyah apabila polis menyiasat laporan terdapat pihak yang melanggar perintah berkurung di kediamannya di London serta pejabat semasa penularan COVID-19.

Perdana Menteri memohon maaf semalam selepas satu laporan oleh seorang penjawat awam kanan yang mengkritik kerajaan dipimpin Johnson, didakwa mengamalkan kepemimpinan gagal dan tidak munasabah berhubung pelanggaran peraturan.

Peristiwa itu yang digelar 'partygate' menyebabkan Johnson memperoleh sokongan ahli Parlimen daripada parti Konservatif, sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai dan mendorong gesaan pembangkang supaya beliau meletak jawatan.

Kebimbangan terhadap pencerobohan Russia yang berlaku dijangka berlaku di Ukraine semakin meningkat sejak kebelakangan ini, walaupun Moscow menafikan dan merayu Zelensky supaya tidak panik berhubung tentera Russia yang berhimpun besar-besaran di sempedan.

Pengumuman Johnson itu adalah sebahagian daripada tindak balas diplomatik terkini terhadap krisis terbabit.

Presiden Russia, Vladimir Putin, dan rakan sejawatnya dari Perancis, Emmanuel Macron, semalam mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon mengenai ketegangan di Ukraine termasuk kebimbangan terhadap keselamatan di Eropah.

Sementara itu, Russia dan Amerika Syarikat (AS) bertelagah mengenai Ukraine di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kerajaan Britain dalam satu kenyataan berkata 'UK sudah lama menjadi penyokong tegar kedaulatan Ukraine'.

Sejak 2015, Angkatan Tentera British melatih lebih 22,000 tentera Ukraine untuk mempertahankan diri. - AFP

Berita Harian X