Ahad, 30 Januari 2022 | 12:51pm
Tentera Russia dilihat di sebelah kapal pengangkut kakitangan berperisai BTR-82 semasa latihan di banjaran Kuzminsky di wilayah Rostov selatan, Russia. - Foto REUTERS
Tentera Russia dilihat di sebelah kapal pengangkut kakitangan berperisai BTR-82 semasa latihan di banjaran Kuzminsky di wilayah Rostov selatan, Russia. - Foto REUTERS

Ukraine menyeru Barat 'tegas' dalam rundingan Russia

KYIV: Kyiv menggesa Barat untuk terus 'berwaspada dan tegas' dalam perbincangannya dengan Russia, ketika Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengumumkan penempatan tentera kecil ke Eropah timur berikutan kebimbangan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.

Britain bersedia menggandakan pasukan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dengan menambah jumlah tentera, senjata, kapal perang dan jet," kata Perdana Menteri Britain, Boris Johnson semalam selepas Washington memberi amaran bahawa Kremlin telah mengumpulkan cukup tentera dan peralatan di sempadan untuk mengancam seluruh Ukraine.

Ketika pegawai tinggi pertahanan AS menggesa usaha diplomatik diteruskan bagi mengelak konflik 'mengerikan', pemimpin Barat mahu tindakan segera diambil bagi meredakan krisis dengan menghubungi Presiden Russia, Vladimir Putin.

Dalam masa yang sama, Barat terus mengekalkan tekanan dengan berikrar melaksanakan sekatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini sekiranya Russia menghantar pasukannya ke Kyiv.

Ketika Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menggesa rakan-rakan Baratnya untuk mengelak daripada mencetuskan 'panik' berhubung pengumpulan besar-besaran tentera Russia, Putin dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron bersetuju mengenai keperluan untuk mengurangkan konflik.

Menurut seorang pembantu Macron, Putin memberitahu pemimpin Perancis itu dalam panggilan yang berlangsung lebih sejam bahawa beliau 'tidak mempunyai rancangan untuk menyinggung perasaan' mana-mana pihak.

Di Washington, Biden bagaimanapun berkata beliau akan menghantar sebilangan kecil tentera AS tidak lama lagi untuk meningkatkan kehadiran NATO di Eropah timur ketika ketegangan terus meningkat.

AS sudah menempatkan puluhan ribu tentera di seluruh Eropah barat.

Semalam, Perancis menyatakan mereka merancang menghantar ratusan tentera ke Eropah timur bersama rakan sekutu NATO, Romania sebagai sebahagian daripada penempatan yang pertama kali disebut-sebut oleh Macron awal bulan ini.

Sementara itu, tawaran Britain - yang akan dibuat kepada NATO minggu depan - boleh menyaksikan London menggandakan kira-kira 1,150 tentera UK yang kini berada di negara Eropah timur dan 'senjata pertahanan' dihantar ke Estonia, kata pejabat Johnson semalam.

"Pakej ini akan menghantar mesej jelas kepada Kremlin - kami tidak akan bertolak ansur dengan aktiviti mereka yang tidak stabil, dan kami akan sentiasa berdiri bersama sekutu NATO kami dalam menghadapi Russia," katanya.

Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba semalam menggesa supaya Barat kekal 'berwaspada dan tegas dalam hubungan dengan pihak Russia' dalam perbualan dengan rakan sejawatan dari Perancis, Yves Le Drian.

"Rundingan itu menggariskan keperluan untuk 'menahan diri daripada langkah yang boleh mencetuskan kebimbangan' dalam masyarakat Ukraine dan 'menggugat kestabilan kewangan' negara pasca-Soviet itu," kata satu kenyataan Ukraine.

Le Drian dijangka melawat Ukraine bersama-sama rakan sejawatannya dari Jerman, Annalena Baerbock pada 7 dan 8 Februari ini sebagai sebahagian daripada langkah diplomasi.

Johnson dari Britain dijangka bercakap dengan Putin sebelum ke rantau itu minggu depan, menambah kesatuan suara pemimpin Barat menggesa Kremlin untuk berundur.

Perdana Menteri Poland, Mateusz Morawiecki tiba di Kyiv, Selasa lalu untuk bertemu presiden dan perdana menteri Ukraine.

Sejak Oktober, Russia mengumpulkan lebih 100,000 tentera dan peralatan tempur, serta pasukan sokongan, di sepanjang sempadan dengan Ukraine dan baru-baru ini langkah yang sama di buat di Belarus, negeri terletak di utara yang bersempadan dengan Ukraine.

Pegawai Barat berkata, Russia mengumpulkan lebih banyak aset udara dan laut di rantau itu, mewujudkan ancaman kompleks seperti yang tidak pernah dilihat sejak Perang Dingin.

Moscow menuntut jaminan keselamatan yang lebih luas, termasuk tidak membenarkan Ukraine menyertai NATO.

Barat menolak tuntutan utama Russia seperti menghalang ahli baharu daripada menyertai pakatan itu, tetapi meletakkan beberapa kawasan di mana ia melihat ruang untuk berunding dengan Kremlin. - AFP

Berita Harian X