Jumaat, 28 Januari 2022 | 9:01pm
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. - Foto REUTERS
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. - Foto REUTERS

Saintis UK mahu pelepasan paten rawatan COVID-19

BRITAIN: Saintis hari ini menggesa Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, menyokong pelepasan hak harta intelek bagi vaksin, ujian dan rawatan COVID-19 berikutan penularan pantas varian Omicron.

Dalam surat yang turut ditujukan kepada Menteri Kesihatan, Menteri Perdagangan, Menteri Perniagaan dan Menteri Luar Britain, sejumlah saintis meminta Johnson menyokong perjanjian Aspek Berkaitan Perdagangan bagi Hak Harta Intelek (TRIPS) Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Pegawai kerajaan British bagaimanapun dilihat ragu-ragu mengenai pelepasan itu, tetapi berkata mereka terbuka untuk berbincang dengan Amerika Syarikat (AS) dan ahli WTO lain.

Keputusan itu dibuat selepas menerima tekanan daripada pihak badan amal dan seruan negara membangun untuk menangani ketidaksamaan pengagihan vaksin COVID-19.

"Krisis yang muncul akibat varian Omicron adalah amaran keras mengenai risiko berhubung ketidaksamaan vaksin global.

"Pandemik tidak berhenti di sempadan UK," menurut surat yang ditandatangani oleh kira-kira 300 pakar epidemiologi, kesihatan dan penyakit berjangkit itu.

Pakar juga menggesa Britain memujuk syarikat farmaseutikal berkongsi teknologi dan pengetahuan mereka dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mempercepatkan bekalan vaksin ke negara berpendapatan rendah dan sederhana serta menangkis varian coronavirus seterusnya.

Omicron, yang pertama kali dikenal pasti di selatan Afrika dan Hong Kong, merebak jauh lebih cepat berbanding varian sebelumnya dan tidak mungkin membantu dunia mencapai apa yang dipanggil imuniti kelompok pada peringkat negara. - REUTERS

Berita Harian X