Jumaat, 28 Januari 2022 | 8:33am
 Foto hiasan. - REUTERS
Foto hiasan. - REUTERS

Dos penggalak tingkat perlindungan kematian bagi usia 50 tahun ke atas

LONDON: Suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 meningkatkan perlindungan terhadap kematian akibat jangkitan varian Omicron kepada 95 peratus bagi individu berusia 50 tahun dan ke atas, kata Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) pada Khamis.

Menurut UKHSA kira-kira enam bulan selepas dos kedua bagi mana-mana vaksin COVID-19, perlindungan terhadap kematian dengan Omicron adalah kira-kira 60 peratus bagi mereka yang berumur 50 tahun dan ke atas.

Kadar itu meningkat kepada 95 peratus selepas dua minggu menerima dos penggalak.

UKHSA berkata data terus menunjukkan tahap perlindungan yang tinggi terhadap kemasukan ke hospital bagi dos penggalak.

Keberkesanan terhadap kemasukan ke hospital adalah kira-kira 90 peratus untuk vaksin Pfizer-BioNTech, menurun kepada 75 peratus selepas 10-14 minggu menerima dos penggalak.

Bagi Moderna, keberkesanan terhadap kemasukan ke hospital adalah 90 hingga 95 peratus sehingga sembilan minggu selepas dos penggalak.

"Buktinya jelas, vaksin membantu melindungi semua daripada kesan COVID-19 dan dos penggalak menawarkan tahap perlindungan tinggi daripada kemasukan ke hospital dan kematian ahli masyarakat yang paling terdedah kepada risiko," kata Ketua Imunisasi di UKHSA, Dr Mary Ramsay .

UKHSA juga mengeluarkan analisis awal keberkesanan vaksin terhadap sublineage Omicron yang dipanggil BA.2, yang menular di Britain dan Denmark yang mendapati tahap perlindungan sama terhadap penyakit bergejala.

"Selepas dua dos, keberkesanan masing-masing adalah sembilan peratus dan 13 peratus untuk BA.1 dan BA.2, selepas lebih 25 minggu," menurut UKHSA.

"Ia meningkat kepada 63 peratus untuk BA.1 dan 70 peratus untuk BA.2 daripada dua minggu selepas vaksin penggalak." - REUTERS

Berita Harian X