Khamis, 27 Januari 2022 | 11:32am
Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen pada sidang media mengenai situasi COVID-19 di Copenhagen, Denmark. - Foto EPA
Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen pada sidang media mengenai situasi COVID-19 di Copenhagen, Denmark. - Foto EPA

Denmark tarik balik sekatan COVID-19 mulai 1 Februari

COPENHAGEN: Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen mengumumkan pada Rabu bahawa kebanyakan sekatan untuk memerangi COVID-19 di negara itu akan ditarik balik mulai 1 Februari, lapor Xinhua.

"Kita sedang melalui fasa kritikal," kata Frederiksen pada sidang media pada Rabu, selepas mengadakan mesyuarat dengan Jawatankuasa Wabak di Parlimen.

"Hari ini kita boleh katakan kita bersedia keluar daripada bayangan COVID-19. Kita ucapkan selamat tinggal kepada sekatan dan selamat kembali kepada kehidupan sebelum wabak."

Mulai Selasa depan, rakyat tidak perlu memakai pelitup muka apabila memasuki pasar raya atau menaiki pengangkutan awam, dan pelanggan di restoran dan bar tidak perlu mengemukakan sijil vaksin COVID-19 melainkan institusi terbabit secara khusus memintanya.

Meskipun bulan pertama 2022 menyaksikan kadar jangkitan harian tertinggi di negara itu, Frederiksen berkata bahawa keputusan pada Rabu bermakna "virus COVID-19 tidak lagi dianggap sebagai penyakit kritikal masyarakat."

Beliau menambah: "kadar vaksin yang tinggi ternyata ... senjata utama kita, dan ia telah memberi perlindungan yang kuat terhadap jangkitan yang masih wujud dalam komuniti."

Bagaimanapun, kerajaan akan mengekalkan keperluan menjalani ujian dan pengasingan bagi individu tertentu ketika memasuki Denmark, iaitu golongan belum divaksin atau sebelum ini pernah dijangkiti.

Perdana menteri juga menekankan bahawa penjagaan tambahan perlu diambil terhadap golongan rentan termasuk warga emas, dan penghidap penyakit kronik.

Bagaimanapun, golongan rentan di seluruh negara bimbang dengan keputusan kerajaan, menurut persatuan pesakit Asma Alergi Denmark.

"Pembukaan semula secara drastik dan tanpa syarat akan memberi impak besar kepada kebanyakan golongan rentan di negara ini, termasuk penghidap asma dan mereka dengan penyakit kronik," kata persatuan itu.

"Mereka perlu bergaul dengan masyarakat dan dalam masa yang sama mereka tidak dapat mengelak daripada berhubung secara langsung dengan golongan dijangkiti."

Persatuan itu menggesa pihak berkuasa memperhebat kempen kesedaran terhadap golongan rentan.

Dalam tempoh 24 jam lalu, sebanyak 46,747 kes baharu dan 21 kematian direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes mencecah 1,531,518 dan 3,656 korban sejak pandemik itu bermula. – BERNAMA

Berita Harian X