Khamis, 27 Januari 2022 | 10:04am
Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin. - Foto REUTERS
Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin. - Foto REUTERS

Perancis tutup platform media aktivis, laman web Muslim

PARIS: Kerajaan Perancis menutup platform media milik aktivis dan laman web Muslim kerana dianggap bertentangan dengan 'nilai kebangsaan'.

Tindakan itu dikritik kumpulan hak asasi manusia dan peguam kerana melanggar kebebasan demokrasi.

Susulan tunjuk perasaan mengenai hak asasi di Nantes, Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin, berkata beliau akan menutup Nantes Revoltee, platform media tempatan yang menyampaikan maklumat mengenai bantahan itu.

Terdahulu, beliau mengumumkan rancangan untuk menutup laman web 'La Voie' yang menyiarkan kandungan Islam.

Dalam tempoh dua tahun, kerajaan menutup 12 organisasi dan kumpulan berbanding tujuh antara 2016 dan 2019, menurut rekod awam Perancis.

Sebelum pertubuhan dibubarkan, Menteri Dalam Negeri memaklumkan kepada pihak berkenaan bahawa mereka mempunyai 15 hari untuk memberikan maklum balas.

Kemudian, apabila perintah disiarkan, organisasi terbabit boleh membawa kes ke Majlis Negara iaitu sebuah mahkamah pentadbiran.

Sehingga kini, Nante Revoltee berkata pihaknya tidak menerima sebarang makluman daripada Kementerian Dalam Negeri mengenai hal itu.

Daripada organisasi yang diperintahkan untuk ditutup sejak Januari 2020, tujuh berkaitan individu beragama Islam termasuk pertubuhan yang menguruskan masjid, sebuah organisasi kemanusiaan dan kumpulan anti-Islamofobia.

Perintah penutupan itu turut merangkumi tiga kumpulan berhaluan kanan.

Darmanin ketika bercakap di Parlimen pada Selasa menegaskan keputusan menutup Nantes Revoltee dibuat kerana kumpulan ultra kiri itu berulang kali menyeru keganasan terhadap negara serta polis dalam tunjuk perasan pada hujung minggu.

Peguam kepada Nantes Revoltee, Raphael Kempf, berkata laman web berkenaan berkongsi maklumat mengenai acara itu tidak boleh dipertanggungjawabkan atas apa yang berlaku di sana.

"Kami lihat sebuah kerajaan menggunakan alat perundangan untuk menyerang suara yang mengkritik mereka," dakwa Kempf sambil menambah kerajaan sekarang mempunyai kuasa yang dikukuhkan di bawah perundangan 2021, yang menjadikan hasutan keganasan sebagai alasan untuk pembubaran. - REUTERS

Berita Harian X