Khamis, 27 Januari 2022 | 9:34am
Pelanggan restoran menikmati hidangan di luar premis susulan kerajaan melonggarkan sekatan COVID-19 di Roskilde, Denmark. - Foto REUTERS.
Pelanggan restoran menikmati hidangan di luar premis susulan kerajaan melonggarkan sekatan COVID-19 di Roskilde, Denmark. - Foto REUTERS.

Subvarian Omicron lebih berjangkit tapi kurang teruk

COPENHAGEN: Subvarian Omicron, BA.2 yang kini dominan di Denmark dilihat lebih menular berbanding 'sub-lineage' BA.1, kata Menteri Kesihatan Denmark, Magnus Heunicke.

"Tiada bukti varian BA.2 menyebabkan lebih banyak penyakit, tetapi ia lebih menular," katanya pada sidang media pada Rabu.

BA.1 kini menyumbang 98 peratus daripada keseluruhan kes di dunia tetapi di Denmark varian itu diketepikan oleh BA.2, yang menjadi dominan pada minggu kedua Januari.

Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UK) menetapkan BA.2 sebagai varian di bawah siasatan (VUI) dan mengatakan ia mempunyai kelebihan dalam pertumbuhan.

Menurut pihak berkuasa penyakit berjangkit utama Denmark, Statens Serum Institut (SSI), pengiraan awal mencadangkan BA.2 mungkin 1.5 kali lebih berjangkit daripada BA.1.

Bagaimanapun, analisis awal oleh institut itu menunjukkan tiada perbezaan dalam risiko kemasukan ke hospital untuk BA.2 dan BA.1.

"Terdapat beberapa petunjuk bahawa ia lebih menular, terutamanya bagi mereka yang tidak divaksinasi, tetapi ia juga boleh menjangkiti orang yang telah divaksinasi ke tahap lebih tinggi," kata Pengarah Teknikal SSI, Tyra Grove Krause dalam taklimat itu.

Ini bermakna kemuncak pandemik di Denmark akan berlanjutan ke Februari, kata Krause.

Kes BA.2 juga telah didaftarkan di Britain, Sweden dan Norway, tetapi pada tahap yang lebih rendah berbanding di Denmark.

Denmark pada Rabu mengumumkan rancangan untuk membatalkan sekatan COVID-19 menjelang 1 Februari, negara terbaharu di Eropah yang berbuat demikian walaupun mencatatkan jumlah jangkitan harian yang tinggi. - REUTERS

Berita Harian X