Jumaat, 21 Januari 2022 | 1:22pm
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, berucap pada sesi Parlimen menjelaskan mengenai pelonggaran langkah kawalan COVID-19. - Foto REUTERS
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, berucap pada sesi Parlimen menjelaskan mengenai pelonggaran langkah kawalan COVID-19. - Foto REUTERS

UK batal peraturan wajibkan pelitup muka

LONDON: United Kingdom (UK) mengumumkan bahawa sekatan yang dilaksanakan di England pada bulan lalu untuk memerangi kes COVID-19 akibat varian Omicron akan ditarik balik.

Ia berikutan data menunjukkan jangkitan akibat varian berkenaan sudah mencapai tahap maksimum dan kembali kepada trend menurun di UK.

Arahan bekerja dari rumah juga akan ditarik balik dan mulai minggu depan, pemakaian pelitup muka tidak lagi perlu dalam sebarang keadaan manakala pas COVID-19 tidak lagi diperlukan untuk akses ke premis tertentu.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, memberitahu anggota Parlimen bahawa kempen suntikan penggalak memungkinkan perubahan itu berlaku.

Beliau menyatakan lebih 36 juta dos penggalak sudah disuntik, dengan lebih 90 peratus penduduk berusia 60an diberikan suntikan ketiga manakala kadar kes coronavirus berkurangan dalam tempoh beberapa minggu.

Johnson berkata saintis UK percaya kemungkinan gelombang Omicron sekarang sudah memuncak tetapi mengingatkan bahawa pandemik COVID-19 belum lagi berakhir. - AGENSI

Berita Harian X