Khamis, 20 Januari 2022 | 12:28pm
Kakitangan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) bertugas di pusat vaksinasi COVID-19 pandu lalu di luar Ewood Park, Kelab Bolasepak Blackburn Rovers di Blackburn, England. - Foto AFP
Kakitangan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) bertugas di pusat vaksinasi COVID-19 pandu lalu di luar Ewood Park, Kelab Bolasepak Blackburn Rovers di Blackburn, England. - Foto AFP

Jangkitan berkurangan, England longgarkan sekatan COVID-19

LONDON: United Kingdom (UK) mengumumkan sekatan yang dikenakan di England bulan lalu dalam usaha melawan penularan COVID-19 varian Omicron akan ditarik balik.

Panduan orang ramai untuk bekerja dari rumah turut ditarik balik serta-merta manakala mulai pertengahan minggu depan, tidak perlu lagi memakai pelitup muka dalam mana-mana keadaan atau menggunakan pas COVID untuk memasuki tempat seperti kelab malam.

Kerajaan Scotland, Wales dan Ireland Utara sebelum ini mengenakan sekatan ketat dengan mengharamkan perhimpunan besar ketika acara sukan.

Di Britain, kes jangkitan harian COVID-19 mencatat rekod purata 200,000 kes sehari pada awal Januari.

Peningkatan itu menyebabkan beban Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) bertambah walaupun jangkitan harian kini berada pada purata 153,000 kes sehari.

Perdana Menteri, Boris Johnson, menyatakan kempen dos penggalak yang luar biasa kejayaannya di negara itu memungkinkan perubahan berlaku.

Katanya, lebih daripada 36 juta suntikan dos penggalak diberikan dengan lebih 90 peratus individu berusia lebih 60-an kini diberi dos ketiga manakala kadar kes rekod berkurangan sejak beberapa minggu.

"Saintis kami percaya kemungkinan gelombang Omicron kini sudah memuncak pada peringkat nasional, namun wabak belum berakhir.

"Saya menggalakkan semua orang di seluruh negara untuk meneruskan langkah berjaga-jaga," katanya.

Setiausaha Kesihatan, Sajid Javid, berkata langkah-langkah yang diumumkan adalah satu perkembangan penting.

"Tetapi ia bukan penghujung jalan dan kita tidak sepatutnya melihat ini sebagai garisan penamat.

"Kerajaan akan menetapkan rancangan jangka panjang untuk hidup dengan coronavirus dalam masa beberapa bulan lagi," katanya.

Antaranya termasuk menamatkan pengasingan diri mandatori bagi mereka yang diuji positif untuk COVID-19.

"Adalah munasabah untuk berfikir sama seperti kita hidup dengan selesema sebagai contoh, kita tidak memerlukan orang untuk mengasingkan diri tetapi perlu lebih berhati-hati," katanya. - AFP

Berita Harian X