Isnin, 17 Januari 2022 | 8:31pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Russia minta Facebook tidak sekat halaman berkaitan Kementerian Luar

MOSCOW: Pengawal selia media Russia menuntut Facebook supaya segera menarik balik semua sekatan pada halaman rasmi delegasi negara untuk rundingan kawalan senjata di Vienna.

Laman Facebook yang bergabung dengan Kementerian Luar Russia, diturunkan Jumaat lalu selepas menerbitkan 'kandungan haram', menurut ketua delegasi, Konstantin Gavrilov.

Pengawas media Roskomnadzor berkata, petang semalam, pihaknya sudah menghantar surat kepada syarikat induk Facebook, Meta berkaitan permintaannya untuk segera menarik balik semua sekatan dari halaman Facebook selain menuntut 'penjelasan mengapa tindakan terbabit diambil'.

"Tindakan pentadbiran rangkaian sosial Facebook sedemikian melanggar prinsip utama kebebasan mengedarkan maklumat," katanya.

Pengawal selia turut menambah, tindakan itu dianggap sebagai 'tindakan penapisan'.

Sehingga pagi tadi, halaman terbabit belum boleh diakses.

Gavrilov berkata demikian kepada Agensi Berita Negara TASS, semalam.

Katanya, delegasi menggunakan halaman Facebook untuk menyiarkan kenyataan daripada kepimpinan Russia atau Kementerian Luar.

"Ini adalah tindakan penapisan terang-terangan dalam ruang maklumat," katanya menerusi satu kenyataan yang dimuatnaik di Twitter.

Dalam pada itu, beliau meminta sokongan daripada Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah yang berpangkalan di Vienna.

Pada Februari 2021, akaun delegasi di Twitter pernah disekat sementara waktu, lapor TASS.

Russia berulang kali mendenda gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) termasuk Meta, kerana mengabaikan permintaan penyederhanaan kandungan ketika negara itu meningkatkan kawalannya ke atas platform internet.

Pada Disember lalu, Meta dikenakan denda terbesar yang cukup besar bersamaan AS$27 juta (RM112.95 juta) berikutan berulang kali gagal memadamkan kandungan haram. - AFP

Berita Harian X