Isnin, 17 Januari 2022 | 12:02pm
 Foto AGENSI
Foto AGENSI

Insiden tebusan Texas: Dua remaja ditahan di UK

LONDON: Dua remaja di United Kingdom ditahan bagi membantu siasatan dalam insiden empat orang dijadikan tebusan di rumah ibadat orang Yahudi Congregation Beth Israel di Colleyville, Texas, Amerika Syarikat (AS) lapor Sputnik, menurut polis Britain.

"Sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan terhadap serangan yang berlaku di rumah ibadat di Texas pada 15 Januari 2022, Pegawai dari Pasukan Anti Keganasan North West membuat dua tangkapan berhubung kejadian itu," kata Polis Greater Manchester dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan yang disiarkan di Twitter pada Ahad, polis Britain bekerjasama dengan penyiasat di AS.

"Dua remaja ditahan di Manchester Selatan petang ini. Mereka masih ditahan untuk disoal siasat," kata Polis Greater Manchester.

Pada Ahad, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) AS mengenal pasti lelaki yang menjadikan seorang rabbi dan tiga lagi jemaah di rumah ibadat itu sebagai tebusan pada Sabtu sebagai warga Britain, Malik Faisal Akram, 44 tahun.

Agensi itu berkata tiada tanda menunjukkan pihak lain terbabit.

Presiden AS Joe Biden menyifatkan situasi tebusan itu sebagai "tindakan keganasan."

Media AS pada Sabtu melaporkan bahawa penahan tebusan itu mendakwa dirinya sebagai abang kepada pengganas yang disabitkan Aafia Siddiqui, seorang wanita Pakistan yang didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas al-Qaeda dan kini menjalani hukuman penjara 86 tahun kerana cuba membunuh anggota tentera AS di Afghanistan. – BERNAMA

Berita Harian X