Isnin, 17 Januari 2022 | 10:26am
 Foto hiasan
Foto hiasan

Polis Itali berang dibekalkan pelitup muka pink

ROM: Kesatuan anggota polis Itali mengecam pemberian pelitup muka FFP2 merah jambu kepada anggota yang bertugas.

Pelitup muka merah jambu diedarkan kepada anggota polis di beberapa wilayah di Itali ketika pandemik COVID-19 sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Kesatuan mendakwa warna pelitup muka itu boleh menjejaskan imej pasukan keselamatan.

Menerusi surat kepada Ketua Polis Negara, Setiausaha Agung Autonomous Police Union (SAP), Stefano Paoloni membantah pemberian pelitup muka warna berkenaan.

Paoloni berkata pelitup muka merah jambu tidak sesuai untuk anggota dan menganggap keputusan meluluskan pembelian itu sebagai 'membingungkan'.

"Kami menggesa tindakan segera untuk memastikan rakan sekerja berkhidmat dengan pelitup muka warna berbeza contohnya putih, biru atau hitam," katanya dalam kenyataan.

"Dalam apa jua keadaan (pelitup muka) perlu konsisten dengan pakaian seragam polis, mengelakkan warna lain atau dengan apa-apa hiasan dianggap sama sekali tidak sesuai."

Kesatuan itu menegaskan pihaknya tidak prejudis terhadap warna, sebaliknya bantahan itu dibuat berikutan dasar pakaian seragam polis yang ketat.

Di Itali, pelitup muka diwajibkan di semua ruang awam dalam dan luar, manakala pelitup muka FFP2 mesti dipakai ketika menggunakan pengangkutan awam, atau memasuki teater, dewan konsert dan pawagam sehingga April ini.

SAP berkata pelitup muka merah jambu diedarkan kepada anggota di wilayah Pavia, Varese, Ferrara, Siracusa, Venice, Sondrio dan Como.

Kesatuan itu mendakwa dianggotai 20,000 ahli, kira-kira 20 peratus anggota polis Itali.

Di Twitter, Timbalan Menteri Infrastruktur Itali, Teresa Bellanova, berkata penghormatan terhadap pakaian seragam tidak datang daripada warna, sebaliknya daripada tingkah laku dan kerja dalam kalangan lelaki dan wanita yang memakainya. - AGENSI

Berita Harian X