Isnin, 17 Januari 2022 | 9:04am
Bill Gates antara 10 individu terkaya dunia yang disenaraikan Forbes. - Foto fail AFP
Bill Gates antara 10 individu terkaya dunia yang disenaraikan Forbes. - Foto fail AFP

10 lelaki terkaya dunia ganda kekayaan ketika COVID-19

PARIS: Sepuluh lelaki terkaya di dunia menggandakan kekayaan mereka selama dua tahun pertama pandemik COVID-19 ketika kemiskinan dan ketidaksamaan meningkat.

Menerusi taklimat yang diterbitkan sebelum sidang kemuncak mini pemimpin dunia secara maya sempena Forum Ekonomi Dunia, Oxfam berkata, kekayaan individu berkenaan melonjak daripada AS$700 bilion (RM2.92 trilion) kepada AS$1.5 trilion (RM6.27 trilion) pada kadar purata AS$1.3 bilion (RM5.43 trilion) sehari.

Oxfam, konfederasi badan amal yang memberi tumpuan bagi mengurangkan kemiskinan global berkata kekayaan bilionair meningkat lebih banyak ketika pandemik berbanding 14 tahun sebelumnya, ketika ekonomi dunia mengalami kemelesetan terburuk sejak Wall Street Crash pada 1929.

Ia menyifatkan ketidaksamaan itu sebagai 'keganasan ekonomi', selain menyumbang kepada kematian 21,000 orang setiap hari berikutan kekurangan akses kepada penjagaan kesihatan, keganasan berasaskan jantina, kebuluran dan perubahan iklim.

Badan amal itu berkata, pandemik menyebabkan 160 juta orang menjadi miskin dengan etnik minoriti bukan kulit putih dan wanita menanggung kesan susulan lonjakan ketidaksamaan.

Laporan itu susulan kajian kumpulan berkenaan pada Disember lalu yang mendapati saham kekayaan global individu terkaya dunia melonjak pada kadar rekod ketika pandemik.

Sehubungan itu Oxfam menggesa pembaharuan cukai dilaksanakan untuk membiayai pengeluaran vaksin di seluruh dunia serta penjagaan kesihatan, penyesuaian iklim dan pengurangan keganasan berasaskan jantina bagi membantu menyelamatkan nyawa.

Katanya, ia berdasarkan pengiraan kekayaan pada sumber data paling terkini dan komprehensif yang tersedia serta menggunakan Senarai Bilionair 2021 disusun majalah perniagaan AS, Forbes.

Sepuluh lelaki terkaya di dunia senarai Forbes antaranya DARI kiri; Elon Musk, Jeff Bezos dan Bernard Arnault & family.
Sepuluh lelaki terkaya di dunia senarai Forbes antaranya DARI kiri; Elon Musk, Jeff Bezos dan Bernard Arnault & family.

Forbes menyenaraikan 10 orang terkaya di dunia iaitu Ketua Tesla dan SpaceX Elon Musk, Jeff Bezos Amazon; Pengasas Google, Larry Page dan Sergey Brin; Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg; bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Microsoft, Bill Gates dan Steve Ballmer; bekas CEO Oracle, Larry Ellison; pelabur AS, Warren Bufet serta Ketua Kumpulan LVMH, Bernard Arnault. - AFP

Berita Harian X