KYIV: Ukraine mendakwa negara itu mempunyai bukti Russia mendalangi serangan siber besar-besaran yang menumbangkan laman sesawang utama kerajaan minggu lalu ketika Microsoft memberi amaran penggodaman itu mungkin jauh lebih serius berbanding jangkaan awal.
Ketegangan antara Ukraine dan Russia semakin meningkat hanya selepas seminggu rundingan antara Barat dan Russia diadakan bagi mencari penyelesaian diplomatik.
Russia bertindak mengumpulkan kereta kebal, artileri dan puluhan ribu tentera berhampiran sempadan Ukraine bagi menuntut jaminan bahawa negara jirannya itu tidak akan menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Beberapa penganalisis bimbang serangan siber itu boleh menjadi permulaan kepada serangan tentera.
Washington juga menuduh Russia menghantar pensabotaj terlatih dalam bahan letupan untuk melancarkan insiden yang boleh menjadi alasan bagi menyerang jirannya yang pro-Barat.
Kementerian Transformasi Digital Ukraine dalam satu kenyataan, berkata semua bukti menunjukkan Russia mendalangi serangan siber, selain menjelaskan Moscow terus melancarkan perang hibrid.
Katanya, serangan itu bukan sahaja untuk menakut-nakutkan masyarakat, malah bertujuan menjejaskan kestabilan di Ukraine, menghentikan kerja sektor awam dan menghancurkan kepercayaan rakyat terhadap pihak berkuasa.
Terdahulu, Kremlin menegaskan tiada bukti Russia mendalangi serangan itu.
Bercakap kepada CNN, jurucakap Presiden Vladimir Putin, Dmitry Peskov, berkata: "Russia tiada kaitan dengan serangan siber ini."
"Rakyat Ukraine menyalahkan Russia atas segala-galanya walaupun cuaca buruk di negara mereka," katanya.
Jumaat lalu Kyiv berkata pihaknya sudah menemui petunjuk pertama perkhidmatan keselamatan Russia mungkin mendalangi serangan siber itu.
Perkhidmatan keselamatan SBU Ukraine berkata, serangan pada awal pagi Jumaat lalu itu menyasarkan sejumlah 70 laman sesawang kerajaan.
Laman sesawang Kementerian Luar untuk seketika memaparkan mesej berbahasa Ukraine, Russia dan Poland, iaitu 'takut dan harapkan paling teruk'.
Beberapa jam kemudian, perkhidmatan keselamatan berkata, akses bagi kebanyakan laman terjejas sudah dipulihkan dan kesannya adalah minimum.
Microsoft pertama kali mengesan perisian perosak pada Khamis lalu.
Gergasi perisian Amerika Syarikat (AS) berkata serangan perisian perosak itu tidak menggunakan sebarang kelemahan dalam produk atau perkhidmatan Microsoft.
Serangan siber besar-besaran muncul di laman sesawang kerajaan pada malam Khamis lalu, memberi amaran kepada rakyat Ukraine supaya waspada dan sedia menghadapi serangan lebih teruk.
Perbuatan itu menyebabkan beberapa laman sesawang tidak dapat diakses sekali gus mendorong Ukraine untuk memulakan siasatannya. - AFP