Ahad, 16 Januari 2022 | 4:10pm
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Microsoft kesan 'malware' di laman sesawang kerajaan Ukraine

UKRAINE : Microsoft Corp (Microsoft) dalam catatan blog semalam mendakwa mereka sedang meneliti 'malware' atau perisian perosak dalam sistem internet kerajaan Ukraine dan beberapa agensi yang bekerja rapat dengannya.

Katanya, mangsa sasaran perisian perosak itu termasuk agensi kerajaan Ukraine yang menyediakan cawangan eksekutif kritikal atau yang berfungsi untuk tindak balas kecemasan.

Turut terjejas ialah firma teknologi maklumat yang menguruskan laman sesawang untuk pelanggan sektor awam dan swasta, termasuk agensi kerajaan yang mana laman sesawangnya pernah dimusnahkan baru-baru ini.

Microsoft bagaimanapun tidak memperincikan firma IT yang terbabit.

Gergasi perisian Amerika Syarikat (AS) itu, yang pertama kali mengesan perisian perosak pada Khamis lalu, berkata serangan perisian perosak itu tidak menggunakan sebarang kelemahan dalam produk atau perkhidmatan Microsoft.

Serangan siber besar-besaran muncul di laman sesawang kerajaan pada malam Khamis lalu, memberi amaran kepada rakyat Ukraine supaya waspada dan sedia menghadapi serangan lebih teruk.

Perbuatan itu menyebabkan beberapa laman sesawang tidak dapat diakses pada pagi kelmarin, sekali gus mendorong Ukraine untuk memulakan siasatannya.

Menurut seorang pegawai kanan keselamatan Ukraine, negara itu mengesyaki kumpulan penggodam dikaitkan dengan perisikan Belarus.

Ini kerana penggodam menggunakan perisian perosak sama dengan yang digunakan kumpulan penyerang siber dikaitkan dengan perisikan Russia.

Perisian perosak, yang menyamar sebagai 'ransomware' atau perisian tebusan, akan menyebabkan sistem komputer disasarkan tidak dapat beroperasi selepas serangan diaktifkan.

Microsoft berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan masyarakat keselamatan siber untuk mengenal pasti dan membantu sasaran serta mangsanya. - REUTERS

Berita Harian X